KUALA LUMPUR, 12 Mac 2015 – Cadbury Malaysia dalam satu kenyataan semalam mengatakan muka babi di Cadbury Milk Kids yang telah menjadi viral di media sosial baru-baru ini bukanlah produk syarikat tersebut.

Menurut Sinar Harian, Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata produk itu adalah yang diimport dan bukan yang dikeluarkan di Malaysia.

“Produk itu telah diimport oleh pihak ketiga yang bebas untuk mengimport produk dari mana-mana negara-negara asing.

“Import atau membeli mana-mana coklat Cadbury oleh pihak ketiga di luar kawalan Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai apa-apa hak untuk menyekat atau mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk.

Menurut Raja Zalina, coklat yang dihasilkan di Malaysia dijamin halal dan oleh itu beliau menasihatkan pengguna untuk memilih coklat yang dibuat oleh Cadbury Malaysia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa semua coklat Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia mematuhi sijil halal yang termasuk lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk.

“Oleh itu nasihat kami kepada pengguna adalah supaya mereka memilih Cadbury coklat dibuat di Malaysia,” kata Zalina.

Baru-baru ini, seorang pengguna melahirkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila dia mendapati bahawa dia telah tersilap beli coklat dengan gambar muka babi di atasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here