Mayat tiga lelaki dipercayai warga asing yang berumur 20-an dijumpai dengan kesan tetakan di kepala dan badan di tempat perkuburan Jalan Kuari, Cheras, di sini, tengahari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, ketiga-tiga mangsa dijumpai kira-kira jam 1 petang hasil maklumat orang ramai.

Mangsa dilaporkan sedang lepak sambil meminum minuman keras sejak malam tadi di tanah perkuburan itu sebelum berlaku satu pergaduhan yang membabitkan beberapa orang individu.

Badan mangsa mengalami kecederaan parah kerana dipenuhi dengan kesan akibat ditetak dan dikelar.

“Ketiga-tiga mangsa ditemui berasingan di kawasan itu dan sedang mengenal pasti identiti mereka kerana kita tidak menemui dokumen pengenalan diri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Masih tiada lagi tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut diteruskan bagi menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here