LAS MARGARITAS: Seorang datuk bandar di Mexico menempuh detik cemas selepas sekumpulan petani menyerbu pejabat dan mengheretnya menggunakan trak gara-gara beliau tidak menunaikan janji.

Insiden berlaku Selasa lalu apabila puluhan penduduk asli Tojolabal bersenjatakan belantan memecah masuk pejabat datuk bandar di bandar Las Margaritas di negeri Chiapas.

Saksi memberitahu penyiasat bahawa petani itu mengikat Datuk Bandar, Jorge Luis Escandon dan meletakkannya di belakang trak.

Kemudian, mereka mengheretnya beberapa puluh meter di atas jalan raya sebelum polis dan kakitangan awam masuk campur dan membebaskan beliau. Namun, beliau tidak mengalami kecederaan.

Pendakwa raya awam, Jorge Luis Llaven berkata, motif serangan berpunca daripada petani yang marah selepas gagal menuntut duit untuk disalurkan kepada komuniti mereka di Santa Rita El Invernadero, di sini.

Sebelum ini, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador telah memperkenalkan dasar bantuan awam dalam bentuk wang tunai kepada penerima bagi menghalang amalan rasuah serta karenah birokrasi orang tengah.

Difahamkan seramai 11 orang ditahan dan puluhan lagi cedera dalam huru-hara itu. – AFP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here