Siapa yang tidak kenal dengan pendakwah kegemaran ramai, Mohd Kazim atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Kazim.

Mula mendapat perhatian tidak kira lapisan masyarakat kerana gaya ceramah beliau yang santai, tazkirah yang diselitkan dengan kisah lucu, namanya terus meniti di bibir peminatnya dan sering mendapat perhatian apabila hadir memberikan ceramah agama.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita beliau menarik diri daripada menyertai sebarang program ceramah agama di televisyen. Ia adalah satu berita yang menyedihkan buat peminat beliau.

Katanya, jika beliau tidak tahan dengan dugaan sebagai pendakwah, sudah lama beliau berhenti memberi ceramah, tapi itu bukan pilihannya.

“Alhamdulillah saya sudah berdakwah lebih kurang 24 tahun, saya pernah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam berdakwah. Saya pernah disihir empat kali dan pernah dibedah sebab sihir apabila dibedah doktor kata tidak menjumpai ‘penyakit’ itu, namun saya terus berdakwah.

“Namun kini, saya rasa pendekatan saya mungkin perlu berubah, biarlah saya memberi peluang kepada pendakwah muka baharu untuk berceramah,” luahnya.

Beliau bukan sahaja ditipu bayaran, malah seringkali juga difitnah.

“Saya pernah diberi cek tendang, dan sudah banyak kali akaun palsu FB dibuat untuk menjatuhkan saya. Tetapi saya terus sabar. Sekarang saya fikir sudah tiba masanya saya ‘menghentikan’ semua itu , jadi saya pilih tidak perlulah lagi saya muncul di kaca televisyen, cukuplah sekadar saya berceramah di tempat awam hanya apabila ada orang panggil ,” tuturnya.

“Hanya itu sahaja, saya juga sudah batalkan 10 program yang melibatkan saya,” katanya.

Walau bagaimanapun, bagi siaran yang telah dirakam dan ditandatangani kontraknya seperti ‘Kalau Dah Jodoh’ di Astro Oasis, rancangan “Bismillah” terbitan TV3 dan rancangan “Kopi Bersama Ustaz Kazim” di TV9., ia akan tetap diteruskan seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here