Seorang lelaki telah ditangkap oleh polis Thailand atas tuduhan menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia dua tahun dengan membelasahnya berulang kali.

Dia ditangkap selepas litar tertutup (CCTV) kamera merakamkan bagaimana dia memukul kanak-kanak itu tanpa belas kasihan di sebuah bangunan apartmen di Min Buri.

Video berdurasi satu minit dan 35 saat itu telah menyebabkan kemarahan netizen selepas dikongsikan di laman sosial Facebook. Dalam video berkenaan, ayah tiri itu menendang kanak-kanak tersebut, memukul kepalanya berulang kali dan menolaknya dengan kasar berhampiran tangga kecemasan bangunan berkenaan

Bapa tiri tersebut kemudiannya menghentikan perbuatannya itu selepas seorang lelaki berjalan menuruni tangga dari tingkat atas.

Ibunya mendakwa anaknya itu terjatuh dari tangga dan tidak melaporkannya kepada polis. Walau bagaimanapun, saudara-mara kanak-kanak itu tidak percaya kerana terdapat banyak kesan lebam dan luka-luka di badannya, sambil mempersoalkan kenapa lelaki itu menghilangkan diri selepas kejadian.

Menurut saudara mara, lelaki itu merupakan penagih dadah dan telah kerap dilihat memukul kanak-kanak itu. Pasangan ini telah hidup bersama selama kira-kira dua bulan.

Doktor berkata kanak-kanak itu meninggal dunia akibat mengalami bengkak pada otak dan banyak kecederaan pada organ dalaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here