PARIT BUNTAR: Tragedi menimpa seorang kanak-kanak dua tahun yang maut tertusuk pisau di Parit Telok Pial Baroh, Kuala Kurau, di sini pagi semalam, bukan saja memilukan tetapi turut mendedahkan keadaan kehidupan keluarga yang dibelenggu kemiskinan.

Keadaan rumah didiami mangsa, Nur Qaisara Medina Supian, bersama tujuh beradik termasuk neneknya yang berusia 86 tahun, amat uzur dan tidak selamat didiami.

Kejadian jam 9.30 pagi itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam,

Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, yang menziarah kediaman keluarga berkenaan malam tadi.

Abdul Yunus yang hadir bersama Ahli Majlis Daerah Kerian menyampaikan bantuan awal sumbangan kerajaan negeri bagi meringankan beban keluarga itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, bukan saja terkejut dengan kejadian itu malah turut tersentuh hati melihat kediaman mangsa yang terlalu usang.

“Saya amat simpati dengan kejadian yang menimpa anak keempat keluarga itu.

“Selepas kunjungan tadi, saya amat terkejut melihat keadaan rumah mereka yang uzur dan tidak selamat diduduki.

“Keluarga ini layak dibantu dan saya sendiri akan usahakan bantuan sewajarnya,” katanya.

Abdul Yunus berkata, perbincangan akan dibuat dengan Pegawai Daerah Kerian bagi membolehkan keluarga berkenaan memiliki rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Bagan Tiang, Tanjung Piandang yang dalam pembinaan.

“Jika pihak keluarga masih mahu tinggal di sini, kita akan usahakan bantuan yang wajar seperti baik pulih lantai, dinding dan bumbung usang yang membahayakan keluarga ini.

“Dalam masa sama, saya akan memastikan pihak berkaitan mengambil perhatian membantu keluarga ini dari pelbagai sudut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kediaman keluarga itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan penduduk kampung.

Bapa mangsa, Supian Samsuri, 42, sebak ketika ditemui namun reda dan menganggap kejadian menimpa anaknya sebagai ketentuan Allah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, mangsa meninggal dunia selepas tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (cm) di kiri perut yang terbenam hingga paras hulu pisau.

Kanak-kanak malang itu dikatakan berlari di dapur rumah meminta neneknya membuatkan susu, namun terpijak pinggan plastik di lantai lalu terjatuh.

Sebilah pisau yang berada di atas pinggan itu dikatakan menusuk kiri perut perut mangsa.

Ibu mangsa, Hana Mazlan, 27, dilaporkan berkata, anaknya yang dipanggil Sara meminta susu sebelum

kejadian.

“Saya memintanya menunggu kerana ketika itu saya menidurkan anak bongsu.

“Bagaimanapun, Sara yang baru selesai mandi dan belum sempat memakai pakaian berlari ke arah neneknya yang ada berhampiran dan minta dibuat susu.

“Ketika berlari, Sara terpijak pinggan plastik lalu terjatuh. Ketika itulah pisau yang ada dalam pinggan berkenaan menusuk perutnya,” katanya.

Mendengar Sara menangis dengan kuat, Hana berlari memujuk dan memangkunya tanpa menyedari ada pisau tertusuk di perut kirinya.

“Bila saya usap badannya barulah terasa hulu pisau yang sama warnanya dengan kulit anak.

“Tiada darah keluar daripada tusukan itu, namun ibu mentua saya yang panik terus mencabut pisau berkenaan.

“Sara yang awalnya merengek terus senyap,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Hana meminta bantuan jiran menghantar Sara ke klinik berhampiran, namun apabila mendapati tiada pergerakan nadi, pihak klinik terus menghantar anaknya ke Hospital Parit Buntar sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Supian ketika ditemui berkata, beliau berada di tempat kerja di Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Bahagian Jentera (PPNJ) Perak Utara di Titi Serong, Parit Buntar ketika kejadian.

“Saya bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan namun anak saya sudah meninggal dunia.

“Pisau itu adalah pisau melapah daging. Pagi tadi (semalam) anak sulung dan kedua saya mengupas mempelam lalu meninggalkannya di atas pinggan di lantai,” katanya.

Jenazah dijangka dikebumikan pagi ini.

Petikan artikel bharian (18/02/2019)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here