Saksi ke Lapan, S Suresh dan saksi ke Sembilan, R Narres (kanan) hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu ada beberapa individu mahu memukul anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada pagi 27 November tahun lalu,

Saksi kelapan, S Suresh, 33, berkata Muhammad Adib cuba dipukul apabila terperangkap dalam kejadian tolak menolak dan mangsa ketika itu sedang bersandar pada ‘bumper’ kereta.

Suresh berkata, dalam kejadian tolak menolak itu, ada di antara 20 hingga 30 orang di kawasan berkenaan, bagaimanapun, tambah beliau, ada juga individu yang cuba menghalang Muhammad Adib cuba dipukul.

Suresh berkata demikian selepas peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Abdul Wahab, mencadangkan kepada saksi bahawa ketika kejadian tolak-menolak itu ada individu yang mahu memukul Muhammad Adib.

Terdahulu, Suresh, ketika disoal Pegawai Pengendali Kes, Zhafran Rahim Hamzah, berkata beliau juga ditolak dan terjatuh di tempat Muhammad Adib bersandar di mana sebelah tangannya di ‘bumper’ kereta dan sebelah lagi di atas jalan raya.

Zhafran : Apa yang berlaku sebelum kamu jatuh?

Suresh : Saya nampak orang ramai berkumpul dan terdengar jeritan ‘jangan pukul…jangan pukul’ dalam Bahasa Tamil. Saya kemudian pergi lebih dekat kerana ingin tahu apa yang berlaku.

Zhafran : Apa yang berlaku selepas kamu berada dalam kumpulan itu?

Suresh : Saya nampak ada orang sandar di ‘bumper’ kereta dengan kaki melunjur.

Zhafran : Kamu kenal siapa yang bersandar itu dan bagaimana dengan keadaan dia?

Suresh : Ketika kejadian saya tidak kenal. Sekarang sudah kenal, Muhammad Adib. Saya tidak nampak keadaannya kerana gelap.

Zhafran : Apa yang kamu dengar dan nampak?

Suresh : Saya dengar lagi orang jerit ‘jangan pukul’ dan mereka mula bertolak-tolak antara satu dengan lain sehingga menyebabkan saya terjatuh hampir terkena orang yang bersandar itu.

Suresh berkata, ketika terjatuh beliau dapat merasakan ada seseorang menendang bahu kanannya dan beliau nampak ada individu bertubuh besar menolak semua orang supaya berdiri jauh daripadanya dan Muhammad Adib.

Katanya, ketika itu beliau pasti bahawa orang yang bersandar itu adalah anggota bomba. Suresh kemudian bangun dan terus mencari rakannya, R Narresh, 30.

“Selepas bertemu Narresh saya menceritakan apa yang berlaku dan memberitahunya ada anggota kena pukul.

“Narresh kemudian menuju ke arah orang berkumpul tadi untuk melihat sendiri apa yang sedang berlaku,” katanya.

Ketika ditanya Zhafran Rahim berhubung kenapa beliau menyatakan bahawa ada anggota kena pukul, Suresh memberitahu itu sekadar andaiannya saja kerana mendengar orang ramai menjerit ‘jangan pukul’ berulang kali.

Tambah Suresh, beberapa minit kemudian Narresh datang kepadanya meminta beliau mencari kereta untuk membawa Muhammad Adib ke hospital.

“Sekali lagi saya mendengar orang di situ bercakap ‘bomba pun nak pukul ke?’. Tetapi saya tidak tahu siapa yang bercakap dan tidak nampak insiden pukul memukul itu.

“Saya terus mencari kereta sehingga Narresh datang kepada saya dan menjerit ‘tepi-tepi’ berulang kali,” katanya.

Suresh berkata, di belakang Narresh ada lima hingga enam orang mengusung Muhammad Adib dan beliau nampak dengan lebih jelas keadaan Muhammad Adib yang ketika itu tidak berbaju, tidak berkasut dan hanya berseluar seragam bomba.

“Saya tidak mengikut Narresh tetapi kembali ke arah kuil mencari rakan yang lain. Seorang rakan saya menelefon Narresh bertanya mereka ke mana.

“Narresh bersama lima hingga enam orang awam membawa anggota (Muhammad Adib) ke hospital dan kami terus ke sana.

Suresh berkata, beliau bersama empat rakannya terus ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan berada di sana sehingga jam 4.45 pagi.

“Kami hanya pulang selepas doktor yang merawat anggota (Muhammad Adib) menerangkan keadaan mangsa,” katanya.

Prosding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin depan.

Petikan artikel hMetro (17/02/2019)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here