KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau tidak sabar untuk mempertahankan kenyataan beliau di mahkamah, berikutan saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terhadapnya.

“Saya baru mendapat tahu mengenai saman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah berkenaan salah satu daripada kenyataan saya.

“Saya teruja untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah. Apabila saya menerima surat tuntutan Disember lepas, saya ada membincangkan kemungkinan saman ini akan dibawa ke mahkamah, ” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, peguam beliau juga telah bersedia untuk menyoal balas Perdana Menteri dan isteri di mahkamah.

Rafizi bagaimanapun berkata beliau masih belum menerima apa-apa pengesahan atau surat tetapi beliau percaya ia adalah susulan kepada surat tuntutan yang pernah diterimanya pada 14 Disember lepas.

“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menakut-nakutkan kepimpinan Pakatan Rakyat. Saya akan terus bersuara dan tidak takut dengan tindakan undang-undang seperti ini, “katanya.

Najib dan Rosmah sebelum ini telah memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi dan pemilik portal ‘Media Rakyat’, Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here