ALOR STAR: Seorang pelajar berusia 18 tahun dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat enam bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada Ahad.

Mangsa, Mohd Nur Hadi Hamdan, jatuh dari tingkat enam ke bumbung tingkat dua premis kira-kira pukul 6 petang.

Beliau kemudiannya dibawa ke unit kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang teruk terutama di bahagian kepada petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan, mangsa memberitahu ibu bapanya dia ingin ke tingkat enam untuk menangkap gambar bersama kakak dan adiknya.


“Namun semasa bermain-main di tingkat enam kawasan letak kereta itu, mangsa bertindak melompat ke atas satu tembok sebelum terjatuh ke bahagian bumbung tingkat dua. 

“Mangsa dipercayai bertindak sedemikian kerana menyangka terdapat bumbung atau kawasan rata sebelah tembok berkenaan,” katanya menurut satu laporan akhbar.

Kakak mangsa, Siti Norhidayah menambah, adiknya mungkin bertindak sedemikian kerana fikir yang tembok tersebut mempunyai kawasan rata kerana ada satu kawasan lagi di situ yang mempunyai kawasan rata dan bertembok.

Kakak mangsa yang berusia 20 tahun dan adiknya yang berusia 16 tahun turut berada di sana ketika kejadian itu berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here