KUALA LUMPUR: Dua pemandu mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian pasangan dan bayi mereka dengan memandu secara berbahaya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Sabtu lalu.



Penolong Pengurus Restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 35, dan juruteknik komputer, Mohammad Reza Fizal Jamauddin, 31, didakwa di Mahkamah Majistret Trafik hari ini dengan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 34, Nova Safitri Azhari, 26, bayi yang berusia 7 bulan, Nur Firuza Annisa.

Kesalahan itu dilakukan di KM 6.2 Lebuhraya Duke menuju ke arah Jalan Duta di sini, pada 1:05 pada 2 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman 10 tahun penjara dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Trafik, Noorul Fhaiez Mohd Nayan menetapkan kedua mereka masing-masing diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, lesen memandu mereka digantung sehingga kes selesai dan pasport mereka diambil.

Noorul juga menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim, manakala peguam S. Prakash dan Hashim Ibrahim masing-masing mewakili Noor dan Fizal .

Peguam Cantius Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here