Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menarik balik saman fitnah RM50 juta terhadap bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakannya itu adalah kerana dia tidak lagi mampu membiayai kos guaman.

Saiful yang kini sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak berkata dia akan terpaksa menggadaikan hartanya jika dia meneruskan saman itu.

“Saya tidak berkeupayaan untuk membiayai kos guaman sehingga ke peringkat itu. Perlu bergadai harta dan masa untuk turun naik mahkamah.

“Sudah tujuh tahun saya telah naik turun ke mahkamah untuk membuktikan kebenaran laporan polis yang saya buat pada 2008,” kata Saiful yang kini dikatakan bekerja sebagai ejen insurans.

“Ingin saya tegaskan bahawa keputusan saya ini tidak bermakna saya menarik balik segala isi kandungan dalam laporan polis yang saya buat terhadap Anwar,” katanya.

Pada 23 Jun tahun lalu, Mohd Saiful, 30,  memfail saman dengan mengatakan dia telah mengalami trauma dan penderitaan sejak 2008 akibat diliwat oleh Anwar.

Mohd Saiful mengatakan Anwar telah menuduhnya sebagai memfitnah dan berkonspirasi terhadap Ketua Umum PKR itu dalam laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2008.

Semalam Mohd Saiful, melalui peguamnya menarik balik saman berkenaan dan perintah penarikan saman direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here