Tun Dr. Mahathir (kiri) dan Presiden IPC, Andrew Parsons (kanan)

PUTRAJAYA: “Dia nak batal, batallah”. Itu jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa Israel adalah negara pengganas dan tidak kisah dengan keputusan IPC itu.

Tun Mahathir dakwa atlet yang dilarang masuk adalah datang dari sebuah negara penjenayah  (Foto: The Star)

“Kita berpegang kepada prinsip kita. Prinsip kita adalah Israel adalah negara penjenayah. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak ada sesiapa berkata apa-apa.

“Kita ada hak untuk menyuarakan suara dan perasaan kita, serta kita mempunyai dasar kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat tertutup Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Semalam, IPC membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons (Foto: Getty Images)

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Dr Mahathir berkata, keputusan sesebuah negara untuk tidak membenarkan warganegara lain masuk ke negara mereka adalah normal, seperti yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap warga dari lima negara Islam sebelum ini.

“Kenapa kita tidak boleh buat pada Israel? Kita ada alasan. Orang ini (atlet Israel) bukan mahu mendapatkan suaka, takut, sakit, susah.

Malaysia tidak lagi menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas larangan terhadap atlet Israel. (Foto: todayonline.com)

“Ini bukan orang susah. Mereka datang dari negara yang tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa dan kita perlu berpegang kepada pendirian kita,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan Malaysia itu kelak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang lain, Dr Mahathir berkata: “Kita tak boleh anjur Sukan Olimpik, kita boleh anjur sukan lain.

Syed Saddiq mengingatkan IPC bahawa Amnesty International dan Human Rights Watch sendiri telah mendakwa bahawa rejim Netanyahu terlibat dalam jenayah perang. (Foto: Fail)

“Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel. Saya tak fahamlah sebab dunia ada kuasa tapi terpaksa ikut Israel. Kita tidak ikut,” katanya.

Ditanya mengenai Malaysia pernah membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke negara ini pada 1997 ketika di bawah pentadbirannya, Dr Mahathir berkata, beliau juga pernah membenarkan pelajar sekolah Israel datang ke Malaysia untuk menunjukkan kepada mereka bahawa orang Islam bukan pengganas.

Jurucakap kementerian luar Israel, Emmanuel Nahshon menyelar larangan Malaysia ke atas atlet mereka. (Foto: youtube.com)

“Kita manusia normal, kita bercakap dengan orang lain. Kita berkelakuan baik dan tidak melakukan apa-apa kesalahan kepada mereka,” katanya, memetik laporan Harian Metro (28/01/2019).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here