Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya bersikap terbuka kepada apa-apa niat untuk menggalakkan perpaduan berteraskan Islam dengan mana-mana pihak.

Kenyataan beliau dikeluarkan beberapa jam selepas Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat untuk kerjasama dengan PAS.

Memetik kenyataan TGHH, beliau menyatakan bahawa PAS akan berlapang dada kepada mana-mana suara positif yang membawa kepentingan kepada Islam, negara, dan rakyat tidak kira orang Islam atau bukan Islam.

“Pas ingin menegaskan bahawa pada waktu ini, Pas adalah rakan Tahaluf Siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama ini sebagaimana yang dicapai dalam Muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama Pas Pusat,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Setakat ini, TGHH masih tidak lagi memberikan petunjuk berkenaan kerjasama PAS dengan UMNO, namun beliau menggesa Umno untuk kembali ke jalan Islam.

“Pas juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi,” katanya.

Beliau menambah bahawa pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci untuk mendapatkan keampunan Allah.
TGHH membuat kesimpulan kenyataannya dengan mengulangi bahawa kerjasama PAS dengan PKR tidak terjejas dan komited dengan kerjasama itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here