TAIPING – Seorang lelaki yang dipercayai anggota Geng Mamak telah ditembak mati oleh polis ketika lelaki tersebut cuba meloloskan diri daripada ditahan berdekatan tol Changkat Jering, di sini petang semalam.

gambar hiasan


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu berakhir dengan kejayaan polis yang berjaya menahan dua lagi anggota geng berkenaan dan sekarang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan seterusnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, ketiga-tiga suspek berumur 38, 31 dan 35 tahun yang memandu kereta mewah jenis Volkswagen Passat sebelum ini terbabit dalam satu kes rompak seorang lelaki di sebuah bank di Rasah, Negeri Sembilan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada IPD Taiping menuju ke Tol Changkat Jering dan sebaik tiba di lokasi telah terserempak dengan kenderaan berwarna kelabu itu.

“Polis cuba menahan kenderaan tersebut dan mengarahkan pemandu keluar, tetapi suspek bertindak mengundur dan melanggar kenderaan pihak berkuasa yang membuat sekatan.

“Suspek diarahkan untuk menyerah diri, namun enggan berbuat demikian sebaliknya bertindak merempuh sekali lagi kenderaan polis sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dan satu das daripadanya mengenai rusuk kiri penjenayah yang maut,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar di IPD Taiping di sini sebentar tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here