
BHUBANESWAR – Seorang lelaki remaja di negeri Odisha, India, menjadi perhatian apabila membawa mayat ibunya di atas sebuah basikal.
Remaja berusia 17 tahun yang bernama Saroj menjadi tular selepas berjalan kaki 5km tanpa selipar ke tempat pengebumian yang terdekat di Daerah Jharsuguda.

Memetik laporan Daily Mirror pada Jumaat (1/18/2019), ibu Saroj yang bernama Janaki Sinhania rebah ketika berjalan untuk mengambil air.
Saroj kemudian cuba meminta bantuan daripada saudara-mara dan jirannya di kampung Karpabahal untuk melakukan upacara pembakaran mayat ibunya.
Tetapi respon yang diterima sangat mengecewakan. Bukan sahaja tidak mahu membantu, malah saudara mara dan penduduk kampung dilaporkan telah menolak untuk menyentuh mayat Janaki.
My Nation melaporkan bahawa tiada penduduk bersedia untuk membantu kerana Saroj dan ibunya berasal dari kasta rendah. Bapa Saroj dilaporkan telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu.
Kerana dia tidak mempunyai pilihan lain, Saroj segera meletakkan mayat ibunya ke atas basikalnya, dan berjalan 5km untuk melakukan upacara pengebumiannya sendiri.

Perjalanannya untuk membawa ibu ke tempat upacara telah menarik perhatian pengguna jalan raya yang bertanya apa yang ada di belakang basikalnya.
“Ini ibu saya,” kata Saroj perlahan. Pegawai Jharsuguda, Bibhuti Bhusan Patnaik, mengakui dia tidak tahu tentang kejadian itu.
Patnaik berjanji untuk memberikan tindak balas yang sepatutnya selepas penyiasatan terhadap peristiwa yang menimpa Saroj selesai.
Sistem kasta di India telah berlangsung selama 3,000 tahun, dan masih berlaku di sejumlah kampung terpencil walaupun perlembagaan melarang diskriminasi sejak tahun 1950.
