Presiden AS Donald Trump membuat kenyataan tentang imigresen dan tembok sempadan dari White House pada Sabtu (19/01/2019). (Foto: AFP / Brendan Smialowski)

WASHINGTON DC – Penutupan sebahagian daripada perkhidmatan kerajaan persekutuan atau shutdown di Amerika Syarikat telah memasuki hari ke-29.

Shutdown ini bermula apabila Kongres tidak bersetuju dengan hasrat Presiden AS Donald Trump untuk membina tembok di sempadan Mexico.

Pada hari Sabtu (19/01/2019), melalui ucapan di televisyen, Trump menawarkan dasar supaya shutdown terpanjang dalam sejarah Amerika Syarikat dapat diakhiri dengan segera.

Beliau menawarkan perlindungan sementara untuk satu juta pendatang dari pengusiran, jika Kongres bersedia meluluskan dana untuk pembinaan dinding sempadan.

Perlindungan itu diberikan kepada dua kategori pendatang, termasuk 700,000 orang yang digelar sebagai “Dreamers” dan 300,000 pendatang lain dengan status perlindungan yang telah tamat tempoh.

“Saya di sini untuk memecahkan kebuntuan dan memberi Kongres satu langkah ke hadapan untuk menamatkan penutupan kerajaan dan menyelesaikan krisis di sempadan selatan,” katanya.

Menurutnya, dasar itu akan membina kepercayaan dan niat baik untuk memulakan reformasi imigresen sebenar.

Sebagai balasan, Trump menuntut belanjawan sebanyak 5.7 bilion dolar AS atau RM23.4 bilion untuk membina tembok meskipun ditolak berulang kali oleh pihak pembangkang, Parti Demokrat.

“Sistem imigresen kita mesti menjadi sumber kebanggaan, bukan sumber rasa malu seperti di seluruh dunia,” katanya, dilaporkan oleh Fox News.

Selain itu, Trump juga memohon penggunaan 800 juta dolar AS untuk bantuan kemanusiaan, 805 juta dolar AS untuk teknologi pengesanan dadah di pelabuhan, 2,750 egen sempadan dan penguatkuasa undang-undang profesional, dan 75 hakim imigrasi baru.

Presiden yang berusia 72 tahun itu menganggap sempadan AS-Mexico sebagai magnet bagi pendatang dan pencari suaka, serta laluan pengedaran dadah.

Demokrat menolak tawaran rundingan yang dicadangkan oleh Trump. Menurut Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi, cadangan Trump adalah kompilasi cadangan yang telah gagal sebelum ini.

“Setiap daripada mereka “tidak dapat diterima” dan tidak “mewakili usaha yang baik untuk mengembalikan jaminan kepada kehidupan rakyat.”,” katanya.

Pegawai tertinggi Parti Demokrat, Chuck Schumer, mengatakan Trump sebelum ini membatalkan perlindungan imigran.

“Menawarkan perlindungan sebagai balasan bagi pembinaan tembok bukanlah satu kompromi, tetapi sebaliknya lebih kepada mengambil tebusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here