Muhammad Ali adalah ‘The Greatest’. Beliau bukan sahaja dianggap paling hebat dalam gelanggang tinju, yang melakukan pukulan yang hebat menumpaskan lawannya, malah beliau juga berhati mulia sebagai manusia.

Ada kisah tentang Muhammad Ali yang mungkin telah hilang dalam sejarah, namun tidak bagi jurugambar The Los Angeles Times Boris Yaro. Pada hari Isnin, 19 Januari 1981, Yaro mendengar laporan mengenai cubaan bunuh diri di radio. Editornya tidak berminat, tetapi Yaro memandu ke Miracle Mile, Los Angeles, di mana dia melihat seorang lelaki muda berkulit hitam berada di tingkat sembilan sebuah bangunan.

“Aku tidak berguna,” kata lelaki muda itu kepada orang-orang di bawah yang memandangnya di Wilshire Boulevard, Los Angeles, seperti yang dipetik dari laman web The Turnstile pada hari Jumaat (1/18/2019). “Aku akan terjun!”

Tiada sesiapa yang mengetahui nama sebenar lelaki itu pada hari itu, sehingga kini belum didedahkan. Orang hanya mengenali dia sebagai ‘Joe’.

Joe telah berada di sana selama berjam-jam. Berteriak, mengatakan bahawa Vietcong akan menangkapnya. Lelaki muda itu menolak semua usaha polis untuk mendekatinya. Sementara itu, beberapa orang yang berada di bawah memberitahunya untuk membuktikan ancamannya, untuk terjun.

Sahabat baik Ali, Howard Bingham, berada di tempat kejadian. Dia menelefon Ali, yang tinggal berdekatan. “Sekitar empat minit kemudian,” Bingham kemudian memberitahu wartawan, “Ali memandu Rolls-Royce melawan arus dengan lampunya berkedip.”

Apabila dia tiba di tempat kejadian, Ali tidak menghiraukan orang ramai yang menjerit namanya, dan berlari ke dalam bangunan untuk ke sisi lelaki itu.

Ali kemudian dilihat berada di tingkap berhampiran untuk melihat Joe. Manakala, Joe dilihat berada dalam keadaan seimbang, dengan satu kaki di hadapan dan satu kaki di belakang, sambil memegang tiang, untuk melihat Ali.

“Ia betul-betul kamu!” lelaki itu berkata kerana sukar percaya.

Memetik laporan Los Angeles Times, Ali mengeluarkan separuh badannya dari tingkap dan menjerit kepada Joe: “Kamu adalah saudaraku! Saya sayang kamu, dan saya tidak boleh berbohong kepada kamu, saya mahu membantu kamu.”

Pemuda itu kemudian mengaku, dia terdesak kerana dia tidak mendapat pekerjaan. Tiada siapa yang menyukainya. “Kenapa awak peduli dengan saya,” dia menjerit kepada Ali. “Saya bukanlah sesiapa.”

Bekas juara dunia tinju heawyweight itu menjawab, lelaki muda itu bukan orang yang tidak berguna.

Selepas hampir setengah jam, Ali berjaya meyakinkan lelaki itu. Ali kemudian mendekatinya dan memeluk lelaki itu dan membawanya masuk, kata saksi.

Kedua-duanya kemudian dilihat dari bangunan itu, mengabaikan peminat-peminat yang bersorak dan mereka beredar menaiki Rolls-Royce Ali ke Hospital Sawtelle VA. Sebelum berpisah, Muhammad Ali berjanji untuk membantu anak muda itu.

Kejadian itu hanya dua hari selepas ulang tahun ke-39 Muhammad Ali, tiga bulan selepas kekalahannya yang menyakitkan daripada Larry Holmes. Ucapannya mula tidak jelas, tangannya mula gemetar – tanda-tanda awal gangguan saraf yang kemudiannya akan melumpuhkannya.

Walau bagaimanapun, Ali kembali ke gelanggang, berjuang sekali lagi, dan kalah kepada Trevor Berbick pada akhir tahun 1981. Namun, pertarungan itu menyaksikan kesungguhan hati Ali lebih daripada pertarungan yang lain

“Saya mahu membantunya mendapatkan pendidikan, mendapatkan pekerjaan, membelikannya pakaian,” kata Ali selepas kejadian itu. “Saya akan pergi ke rumahnya, berjumpa dengan bapa dan ibunya. Mereka mengatakan anaknya bukanlah sesiapa. Jadi saya mahu pulang ke rumah bersama dia, dan mereka akan menyedari bahawa dia adalah seorang hebat.

Apa yang dilakukan oleh Muhammad Ali mungkin memberi peluang kedua kepada anak muda itu. Walaupun ada juga orang yang menganggapnya sebagai tindakan untuk meraih populariti.

“Tidak ada ragu-ragu lagi,” kata seorang pegawai polis. “Ali memang menyelamatkan nyawa orang itu.”

1 COMMENT

Leave a Reply to AdamHawa Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here