Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang diadakan memutuskan bahawa anak tidak saf taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya seperti menurut jumhur ulama.

Memetik laporan Harian Metro, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, oleh kerana itu, anak itu mestilah dinasabkan kepada Abdullah atau nama Allah yang mulia.

“Pada masa sama, mesyuarat bersetuju iaitu asas yang diguna pakai ialah maslahah umum (implikasi zina merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (aib yang mungkin dialami anak zina).

“Hal ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam,” katanya dalam kenyataan Bayan Linnas pada laman web Mufti Wilayah, hari ini.

Menurut beliau, pengecualian juga boleh diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan mengikut undang-undang sivil atau undang-undang adat dengan dikiaskan oleh zaman jahiliyah.

“Justeru, anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam,” katanya.

Menerangkan secara lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya menegaskan anak tidak sah taraf bukan hina dan tidak berdosa akibat kesalahan yang dibuat oleh kedua orang tuanya.

“Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain jadi, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa paling bertakwa antara kita,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini boleh di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan itu diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.

Memetik portal rasmi Mufti WP pula, beliau berkata bahawa isu menutup malu dan aib bukanlah alasan yang kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan membinkan atau membintikan kepada selain bapanya yang sah melalui perkahwinan.

“Ini kerana, banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina.

“Jika yang dimaksudkan mendapat malu itu adalah si anak, maka mudarat menyembunyikan itu lebih besar. Ini kerana ia berkaitan dengan soal pembahagian faraid dan wali nikah bagi wanita.


“Sebenarnya, punca utama masalah ini adalah tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal. Isu penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat.

Betapa lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi.

“Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga.

“Justeru, sebagai sikap bertanggungjawab, hendaklah pasangan yang terjebak dengan zina bernikah secepat yang mungkin apabila sudah berlaku zina kali pertama sebagai bentuk pemulihan diri dan taubat kepada Allah dan berhenti daripada melakukan dosa kepada hubungan yang halal.

“Bahkan seperti mana yang telah disebutkan di atas, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa hendaklah ibu bapa yang berzina itu dihukum dengan hukuman syariat yakni dirotan 100 kali sebelum dia boleh menasabkan anak tersebut kepada dirinya.

“Ini kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat.

“Maka, masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina.

“Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu yang disebut-sebut,” katanya seperti dipetik dari portal rasmi Mufti WP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here