Seorang remaja Saudi yang melarikan diri dari keluarganya dan memperoleh suaka di Kanada mengatakan bahawa pengalaman yang dia alami adalah “sepadan dengan risiko yang dihadapi,” supaya dia dapat hidup sebagai manusia yang bebas.

Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, menjadi perhatian dunia selepas awal bulan ini mengunci dirinya di bilik hotel di Bangkok dan enggan terbang pulang ke Arab Saudi.

Dia mendakwa bahawa keluarganya telah menderanya dan mendakwa takut dibunuh jika dia kembali ke tanah airnya.

“Ia adalah sesuatu yang sepadan dengan risiko yang saya ambil,” katanya kepada akhbar Toronto Star dalam temu bual pertama selepas menerima suaka. “Saya tiada apa-apa yang hilang.”

Di Arab, wanita “dianggap sebagai objek, seperti budak,” katanya. “Saya mahu menceritakan kisah saya dan mengenai apa yang berlaku kepada wanita Saudi.”

Keluarga al-Qunun sedang dalam perjalanan ke Kuwait, ketika Rahaf melarikan diri ke Bangkok, ibukota Thailand. Dia berkata dia berhasrat untuk mengambil penerbangan seterusnya ke Australia dan sudah mempunyai visa Australia.

Tetapi dia mendakwa pasportnya telah dirampas oleh seorang diplomat Saudi apabila dia turun dari pesawat di Bangkok.

Rahaf Mohammed – yang telah mengeluarkan al-Qunun dari nama terakhirnya kerana keluarganya kini tidak mengakuinya lagi – meminta bantuan daripada komuniti antarabangsa dari bilik hotel di lapangan terbang .

Kes itu kemudiannya dikendalikan oleh Human Rights Watch dan beberapa wartawan. Thailand membenarkan dia tinggal dan PBB kemudian mengkaji permohonan suakanya.

“Saya tidak pernah menganggap masih ada satu peratus peluang bahawa kebebasan boleh berlaku,” katanya kepada Toronto Star. “Saya berasa sangat selamat di Kanada, sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia.”

Dia menambah: “Saya merasa dilahirkan semula dari rasa cinta yang datang dari semua orang yang menunggu kedatangan saya.”

Rahaf Mohammed berkata bahawa dia benar-benar terpaksa membiasakan diri dengan cuaca Kanada, tetapi dia sangat teruja untuk menjalani pengalaman baru.

“Saya akan cuba pelbagai perkara yang saya belum cuba,” katanya kepada stesen televisyen CBC. “Saya akan belajar perkara yang saya tidak pernah belajar, saya akan meneroka kehidupan … Saya akan mencari kerja dan menjalani kehidupan yang normal.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here