KUALA LUMPUR – Kebimbangan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dengan pendedahan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos yang menggempur secara salah beberapa pusat perjudian di kawasan itu menjadi kenyataan.

Ini berikutan satu kenyataan Jamal yang mengatakan beliau telah menerima ancaman bunuh daripada seorang lelaki dipercayai berbangsa India.

Dalam satu rakaman audio yang dikongsi oleh Jamal, beliau mendakwa mendapat panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa ingin membunuhnya.

“Tolong viralkan nombor ini telah call saya, ugut mahu bunuh saya, seorang lelaki India,” katanya dalam satu rakaman yang dihantar kepada media.

Dipercayai ancaman bunuh itu datang daripada seorang lelaki yang marah dengan tindakan Jamal yang menyerang pusat perjudian mereka.

Semalam, Ketua Polis Selangor dipetik berkata tindakan itu adalah menyalahi undang-undang kerana membuat pencerobohan ke atas suatu tempat.

Beliau mengatakan bahawa jika pemilik premis berkenaan membuat laporan, Jamal boleh dikenakan tindakan untuk kesalahan itu.

Menurut Abdul Samah, Ketua Gabungan NGO Melayu itu mungkin memasang niat yang baik bagi mendedahkan aktiviti perjudian dan pusat hiburan yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di seluruh Selangor, namun mesti menggunakan saluran yang betul.

Beliau juga gusar kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian dengan unsur-unsur kongsi gelap dan ia boleh mengancam dirinya sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here