PETALING JAYA: Lebih daripada lapan juta rakyat Malaysia memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata setakat ini kerajaan telah menerima 8,277,391 jumlah permohonan, dan 5,153,238 daripadanya telah diluluskan.

Najib berkata, pemohon yang berjaya akan menerima bayaran BR1M mereka secara berperingkat mulai 18 Feb.

“Baki 3,123,950 permohonan yang sedang diproses dan keputusan dijangka akan diumumkan pada bulan Mac 2017,” kata beliau menerusi blognya najibrazak.com pada Khamis.

Dari segi kumpulan umur, beliau berkata, mereka yang berusia antara 21 dan 30 tahun dan juga pemohon yang berumur lebih 61 tahun mencatat jumlah tertinggi kelulusan.

“2,782,799 permohonan akan menerima RM1,200 bantuan; 243,434 akan menerima RM900 dan baki 2,127,005 layak menerima RM450 bantuan,” kata Najib.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri yang mempunyai paling ramai penerima BR1M dengan 666,316 permohonan yang diluluskan manakala Sabah dan Sarawak juga mencatat jumlah kelulusan tinggi iaitu sebanyak 477,482 dan 537,588 .

Najib turut menegur pembangkang kerana kritikan yang kerap mempolitikkan dan memperlekehkan pemberian BR1M, mengatakan bahawa mereka perlu lebih sensitif kerana ramai penerima memerlukan wang untuk keperluan harian mereka.

“BR1M tidak sepatutnya dipolitikkan,” katanya.

Beliau juga menggesa mereka untuk berhenti mendakwa bahawa negara ini akan bankrap.

Najib telah menyatakan sebelum ini bahawa BR1M akan diberikan secara berperingkat dari 18 Februari dan seterusnya.

Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017, isi rumah kategori e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 layak untuk menerima bayaran BR1M sebanyak RM1,200.

Isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 pula layak menerima RM900 manakala individu yang belum berkahwin berpendapatan bawah RM2,000 sebulan layak menerima RM450.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here