Anggota ISIS yang berpakaian hitam dan berdiri, dengan tahanan mereka. (Foto: Daily Mail)

GAZA – Kumpulan radikal Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mengisytiharkan perang terhadap kumpulan Palestin, Hamas, di Semenanjung Gaza.

Pengisytiharan itu disertai dengan hukuman yang kejam kepada salah seorang bekas anggota mereka yang dianggap pengkhianat.

Dalam video berdurasi 22 minit, ISIS menyatakan bahawa ahli-ahlinya yang dihukum mati adala  mereka yang membekalkan senjata kepada Hamas.

ISIS turut mengkritik tindakan keras Hamas terhadap kumpulan militan Islam di Gaza dan kegagalannya untuk menghalang pengiktirafan sebelah pihak Jerusalem sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat. Kedua-dua ini telah digunakan oleh ISIS sebagai alasan untuk memusuhi Hamas.

(Foto: Ibraheem Abu Mustafa / Reuters)

Dilaporkan The Times of Israel Jumaat (5/1/2018), ISIS yang berpangkalan di Semenanjung Sinai menuduh Hamas sengaja menyeludup senjata kepada lawan mereka.

“Hamas juga telah memerangi anggota kami di Gaza, dan menghalang pergerakan mereka dari Gaza ke Sinai,” kata pemimpin ISIS di Sinai, Abu Kazem al-Maqdisi.

Menurut laporan The Times Israel, Maqdisi adalah tokoh ISIS yang berasal dari Gaza.

Maqdisi menggesa setiap anggota ISIS untuk menyerang ibu pejabat Hamas dan mahkamah mereka di Gaza.

Pengisytiharan itu kemudian diteruskan dengan menembak seorang bekas anggota ISIS bernama Musa Abu Zamat.

“Dia melakukan pengkhianatan dengan menyeludup senjata ke Briged Al Qassam (sayap tentera Hamas),” kata Maqdisi.

Hamas menafikan laporan tersebut melalui jurucakapnya, Salah Bardawil.

“Video itu jelas merupakan produk Israel yang cuba memutarbalikkan keadaan sebenar,” kata Bardawil di Twitter.

Seruan perrmusuhan ini berpotensi untuk mengganggu keadaan keselamatan yang sudah rapuh di Gaza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here