Pemandu perempuan yang melanggar lapan remaja lelaki hingga mati dan menyebabkan beberapa lain cedera di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, awal pagi sabtu lalu, siap bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi.

Memetik Sinar Harian, kakak kepada pemandu perempuan tersebut berkata, setelah berlaku kemalangan itu, adik perempuannya terus menghubunginya melalui panggilan telefon dan mengatakan supaya tidak risau keadaan dirinya.

“Adik saya kata dia sedia bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku ini.

“Dia telah memperoleh lesen memandu sejak lima tahun lalu. Saya percaya dia mampu hadapi dugaan ini,” ujarnya kepada Sin Chew Jit Poh.

Katanya lagi, dia telah memberikan telefon bimbit kepunyaan adiknya kepada pihak polis bagi siasatan seterusnya.

“Selepas kejadian, saya teman adik saya selama dua jam di balai polis. Selepas beri keterangan, adik saya juga menjalani ujian air kencing. Kami telah bersiap sedia apa yang akan berlaku terhadap adik saya selepas ini.

“Sekiranya mahu minta ganti rugi, kami mungkin tidak mampu membayarnya. Sekiranya dikenakan hukuman penjara, adik saya kata dia sedia menghadapinya,” ujarnya.

Pemandu perempuan yang berusia 22 tahun itu dilepaskan dengan jaminan polis setelah pihak polis selesai mendapatkan keterangan daripadanya berkenaan insiden tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here