PUTRAJAYA, 1 ​​Mac – Malaysia hanya akan menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada keluarga terdekat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Dr Subramaniam berkata demikian sebagai respon kepada delegasi Korea Utara yang tiba di sini semalam untuk menuntut mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

“Mereka boleh membuat permintaan, tetapi ia tidak perlu bagi kita untuk tunduk kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr Subramaniam berkata kementerian masih akan mendesak mendapatkan bukti DNA daripada keluarga terdekat mangsa untuk membuktikan identiti Jong-nam sebelum mayat tersebut diserahkan kepada saudara si mati.

“Kami tidak akan menyerahkan mayat sehingga kami mengenal pastinya. Dan kami akan serahkan kepada orang yang berhak, “katanya.

Beliau juga berkata, Putrajaya akan “melakukan yang terbaik” untuk menghubungi keluarga Jong-Nam melalui Kementerian Luar bagi memberitahu mereka mengenai keadaan.

Kementeriannya dan pihak polis akan terus menjaga mayat sehingga pengenalan identiti dilakukan, katanya.

Dr Subramaniam berkata, walaupun terdapat satu protokol untuk menguruskan mayat-mayat warga Malaysia yang tidak dituntut, pendekatan untuk kes ini berbeza kerana publisiti antarabangsa.

“Ini adalah kes berprofil tinggi dengan perhatian antarabangsa, jadi kita perlu membuat keputusan di peringkat kerajaan tentang bagaimana untuk menanganinya,” katanya.

Jong-nam yang sedang menunggu untuk penerbangan ke Macau di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari, meninggal dunia dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mukanya disembur dengan cecair yang telah dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Dua wanita Vietnam dan seorang warga Indonesia yang dirakam kamera keselamatan mendekatinya di lapangan terbang telah dituduh membunuh awal hari ini.

Bagaimanapun, polis percaya beberapa warga Korea Utara dalang disebalik pembunuhan itu. Seorang telah ditangkap manakala empat yang lain sedang dicari untuk disoal siasat, dengan bantuan Interpol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here