KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan membantu untuk melancarkan urusan membawa keluar dari Korea Utara dua kakitangannya yang merupakan warganegara Malaysia.

Satu sumber PBB di New York memaklumkan Bernama bahawa kedua-dua wanita yang berusia 30-an itu telah dihubungi sebaik sahaja notis larangan ke atas rakyat Malaysia di Korea Utara yang dikeluarkan oleh Pyongyang dilaporkan oleh media antarabangsa.

“Kedua-dua adalah selamat. Mereka bukan pegawai atau kakitangan Kedutaan Malaysia.

“Mereka adalah kakitangan kami (PBB) yang telah dihantar ke Korea Utara bagi menghadiri kursus yang berkaitan dengan Program Makanan Sedunia (WFP),” kata sumber itu.

Beliau berkata, PBB akan menghantar seorang wakil untuk melancarkan proses mengambil keluar kedua-dua wanita keluar secepat mungkin.

Kedua-dua wanita tersebut adalah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara pada masa ini selain tiga kakitangan kedutaan dan enam ahli keluarga.

Media rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa tindakan Pyongyang menyekat semua rakyat Malaysia dari meninggalkan Korea Utara selagi kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Kuala Lumpur tidak diselesaikan dengan baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here