Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean, menggesa kedua-dua negara, Korea Utara dan Malaysia, untuk menyelesaikan perbezaan pendapat mereka tanpa perlu menggunakan langkah-langkah yang ekstrem.


TPM Teo berkata demikian ketika dalam rangka lawatan ke Jakarta, ibu negara Indonesia, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA).

Teo mengulas ketegangan hubungan di antara Malaysia dan Korea Utara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam di bumi Malaysia. Kim Jong-nam adalah abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Korea Utara telah menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, dan Malaysia telah bertindak balas dengan menghalang rakyat Korea Utara di Malaysia dari meninggalkan negara Malaysia juga.

“Kami telah memantau rapat perkembangan di sana dengan amat teliti, bukan hanya antara Korea Utara dan Malaysia, tetapi juga Korea Utara dan pelancaran peluru berpandu beberapa hari lepas,” kata Teo kepada media Singapura di Jakarta.


“Saya fikir kita perlu menggalakkan Korea Utara menjadi lebih sederhana dalam tindakan yang diambil untuk cuba mengekalkan keamanan dan kestabilan serta keselamatan di rantau kita,” tambah Teo.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara telah dibina pada 30 Jun, 1973, dan kekal baik selama lebih empat dekad sebelum pembunuhan Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Malaysia menubuhkan kedutaannya di Pyongyang pada 28 Februari 2004 dan menjadi negara pertama yang rakyatnya dibenarkan untuk melawat Korea Utara tanpa visa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here