SEREMBAN – Lima ratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari kawasan Rembau yang mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin yang mengetuai kumpulan itu berkata keputusan untuk keluar parti itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat mereka pada 28 Mac selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Anas berkata antara sebab-sebab mereka berbuat demikian adalah kerana PPBM mengamalkan kronisme dan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau juga mendakwa bahawa ahli-ahli jawatankuasa parti yang dilantik masih lagi ahli UMNO, dan mendakwa objektif dan hala tuju parti tidak jelas.

“Dengan peletakan jawatan beramai-ramai ini, saya boleh mengatakan PPBM Rembau adalah 99 peratus lumpuh. Terdapat 2,000 ahli di bahagian Rembau dan 1,500 lagi ahli akan keluar parti tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini.

Mohd Anas yang menyertai PPBM pada 10 Okt tahun lepas berkata surat peletakan jawatan beramai-ramai akan dihantar ke ibu pejabat PPBM pada 15 April.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa bahawa selain dari Rembau, ahli-ahli PPBM dari bahagian-bahagian lain di Negeri Sembilan akan menyusul.

“Keputusan untuk berhenti PPBM adalah muktamad dan pada masa ini kita akan bertenang dan tidak akan menyertai mana-mana parti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here