Amerika Syarikat telah melancarkan hampir 60 peluru berpandu Tomahawk di lapangan terbang tentera di Syria, tindakan ketenteraan secara langsung yang pertama yang diambil Washington terhadap tentera kerajaan Syria dalam konflik yang berlarutan selama enam tahun.

Amerika Syarikat berkata peluru berpandu yang dilancarkan telah menyebabkan kerosakan teruk infrastruktur di lapangan terbang.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau mengarahkan serangan terhadap pangkalan udara di wilayah Homs, berkata bahawa serangan gas disyaki telah dilancarkan dari sana.

Rusia melabel langkah AS itu sebagai “pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat yang melanggar undang-undang antarabangsa”.


“Langkah Washington akan menyebabkan kerosakan yang besar kepada hubungan AS-Rusia,” Dmitry Peskov, seorang jurucakap Presiden Rusia, Vladimir Putin, dipetik berkata.

Sebaliknya, Arab Saudi menyatakan sokongan penuh kepada serangan, sambil menambah bahawa ia adalah “keputusan berani” oleh Trump sebagai tindak balas kepada dakwaan penggunaan senjata kimia terhadap orang awam yang tidak bersalah di Khan Sheikhoun.

Menurut kenyataan itu, Arab Saudi menyalahkan kerajaan Assad yang bertanggungjawab atas kematian berpuluh-puluh orang awam di Khan Sheikhoun.


Manakala respon Iran pula yang merupakan sekutu Assad berkata ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu terhadap pangkalan udara tentera Syria.

Iran mengecam sebarang serangan unilateral kerana langkah-langkah tersebut akan mengukuhkan penentang di Syria dan mendakwa ia akan merumitkan keadaan di Syria dan rantau itu, lapor aljazeera.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here