KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Adam Rosly mengemukakan bukti palsu termasuk dakwaan bahawa banglo RM1.2 juta itu telah dibeli dengan pinjaman daripada dua Ah Long dan juga dari nenek dan ibu mertua beliau.

Menurut kertas pertuduhan, Adam yang berusia 29 tahun mengaku kepada SPRM pada 10 Februari lalu bahawa beliau membeli banglo dengan bayaran tunai pada tahun lalu kerana tidak dapat membuat pinjaman bank.

Adam juga menafikan banglo yang terletak di Ampang telah dibeli dengan harga RM7 juta.

Katanya, beliau telah meminjam RM400,000 daripada Ah Long bernama Tan Hang Yuan, atau Leo, dan RM100,000 lagi daripada Ah Long yang lain yang dikenali sebagai Ben.

Beliau meminjam lagi RM100,000 dari ibu mertua beliau dan RM100,000 daripada neneknya yang baru sahaja meninggal dunia.

Beliau mendapat RM250,000 hasil daripada menjual kereta dan sewa, dan RM250,000 lagi daripada keuntungan perniagaan.

Adam juga memberitahu SPRM bahawa beliau memperoleh kira-kira RM60,000 sebulan sebagai pengarah syarikat dan RM3,000 lagi sebulan, menguruskan rumah flat di Taman Industri Lembah Jaya.

Katanya, beliau kini memiliki syarikat bernama Gegas Mentari Holding Sdn Bhd di mana beliau memegang jawatan sebagai pengarah.

Bagaimanapun, Adam kepada SPRM pada 22 Februari lalu memperbetulkan kenyataannya.

Kali ini, beliau mendakwa telah meminjam RM555,165 daripada “Leo” untuk tempoh dua tahun, sambil menambah bahawa beliau telah membuat bayaran semula RM302,050 dan tinggal RM253,115 masih belum dijelaskan.

Hari ini, Adam telah didakwa di Mahkamah Sesyen berikutan enam tuduhan memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara lima tahun, denda RM3 juta atau kedua-duan sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here