Bukti terkini menunjukkan MH370 berkemungkinan tinggi berada di kawasan carian utama di zon utara.

Menurut saintis Australia, penemuan kali ini adalah lebih diyakini berbanding sebelum ini berkenaan lokasi kawasan di mana bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 boleh dijumpai.

CSIRO berkata laporan baru yang dikeluarkan pada hari Jumaat mengesahkan bahawa lokasi MH370 kemungkinan tinggi berada dalam kawasan 25,000 km persegi di selatan Lautan Hindi.

Kawasan baru yang didedahkan itu disifatkan sebagai kawasan “kemungkinan besar” yang dikenal pasti ada bangkai pesawat oleh pakar-pakar.

Satu pasukan penyelidik CSIRO yang diketuai oleh Dr David Griffin berkata ujian terbaru mereka telah menggunakan Boeing 777 flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) yang sepadan dengan serpihan yang ditemui di La Reunion Island berhampiran Afrika pada bulan Julai 2015.

Serpihan yang dipercayai dari pesawat MH370 di Pulau Reunion. (Foto: CNN)

“Penemuan kami lebih meyakinkan dengan keputusan baru itu. Kami dapati serpihan sebenar flaperon itu dijumpai terapung kira-kira 20 darjah ke bahagian kiri dan lebih cepat daripada replikanya.”

“Ia menunjukkan bahawa lokasi yang paling mungkin MH370 berada adalah di kawasan pencarian baru,” kata Dr Griffin memetik laporan Reuters (21/4/2017).

Boeing 777 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 bersama 239 orang di dalam pesawat dan merupakan salah satu kehilangan pesawat yang paling misteri pernah berlaku.

Walau bagaimanapun Menteri Pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia tidak meneruskan pencarian sehingga “bukti baru yang boleh dipercayai” telah ditemui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here