IPOH – PKR Perak mengakui sukar untuk membentuk satu pakatan yang kuat jika Pas menutup pintu  perbincangan dalam memastikan perjuangan satu lawan satu dalam PRU14 untuk menumbangkan BN.

Pengarah Strategiknya, Madhi Hassan berkata, jika perbincangan gagal, BN masih boleh turun, dengan syarat rakyat yakin bahawa hanya satu pakatan berbilang kaum dan progresif seperti Pakatan Harapan mampu menggantikan BN.

Beliau berkata, Pakatan Harapan di Perak mempunyai prospek yang ketiga paling tinggi selepas Pulau Pinang dan Selangor, pada PRU13, Pakatan Rakyat memenangi 55 peratus undi popular di Perak.

“Rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan dan ini boleh membawa kepada sokongan yang lebih tinggi untuk satu pakatan alternatif seperti Pakatan Harapan.

“Sama ada Pas bersama-sama atau tidak dalam pakatan pembangkang, formula satu lawan satu masih boleh dicapai jika Pas bersedia untuk membincangkan pakatan pilihan raya dengan pihak pembangkang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Madhi menyambut baik pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menjadikan Perak sebagai negeri angkat.

Beliau berkata, Perak dalam senarai keutamaan PKR selain Selangor.

Katanya, status negeri angkat adalah diharapkan untuk memperkukuh jalan untuk mendapatkan kemenangan dalam PRU14.

“Bagaimanapun, kita masih belum memutuskan apa jenis bantuan yang kita perlukan daripada Mohamed Azmin tetapi secara umumnya ia bersandar ke arah persediaan untuk pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata mereka berharap Mohamed Azmin boleh berkongsi formula beliau untuk menang di Selangor.

Beliau berkata, PKR Perak juga mahu lebih ramai  tokoh-tokoh nasional PKR yang berasal dari Perak untuk bertanding pada PRU-14 akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here