Seperti kita sedia tahu, sujud dalam solat adalah di mana keadaan seorang hamba berada paling dekat dengan Allah, bersandarkan pada sebuah hadis Rasulullah S.A.W.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Keadaan paling dekat seorang hamba dari tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyak doa (di dalamnya).” – HR. Muslim.

Disebabkan itulah kita seringkali melihat tidak kira di Surau atau Masjid, sebahagian jemaah sengaja memperlamakan sujud terakhir ketika solat, tujuannya adalah agar memperbanyak doa kepada Allah.

Jadi, sahkah solat orang tersebut sekiranya mereka sujud lama (biasanya untuk berdoa) sampai kadang kala Imam sehinggakan sudah habis membaca tahiyyat akhir?

Ramai masyarakat hari ini yang salah faham tentang permasalahan ini. Ada yang fikir bahawa tuntutan untuk sujud lama pada sujud terakhir setiap kali solat itu turut disunatkan juga dalam solat berjemaah, namun rupa-rupanya ia satu tanggapan yang salah.

Menjawab persoalan ini, kata Ustaz Azhar Idrus, jika makmum sujud terlalu lama ketika solat berjemaah, ia boleh menyebabkan solat makmum tersebut batal.

“Apabila Imam habis membaca kalimah syahadah dalam tahiyyat akhir, dan jika ketika itu makmum masih lagi sujud, maka batal solat makmum tersebut.

“Ini kerana dia (makmum) dengar ustaz kata bahawa sujud lama adalah sunat.”, kata Ustaz Azhar sambil menambah bahawa sujud lama hanya sunat ketika solat bersendirian sahaja.

“Jika solat bersama Imam, apabila Imam bangun dari sujud, makmum mestilah turut sama bangun atau selepas menghabiskan tasbih tiga kali.”

Katanya lagi, jika kita sujud lama hukumnya adalah makruh. Jika kita sujud sehingga sekurang-kurangnya sah tahiyyat (akhir) Imam, maka boleh batal solatnya.

Kenapa batal? Ini kerana sujud lama ketika solat berjemaah dipanggil “sunat yang bersalahan dengan Imam yang menyebabkan rupanya begitu buruk”.

Jadi kesimpulannya, pada asalnya dibolehkan seseorang itu sujud lama-lama dalam sujud terakhir solat, bahkan tidak menjadi kesalahan jika mereka mampu sujud selama berjam-jam sekalipun.

Namun, hukum ini hanya boleh digunakan saat solat bersendirian sahaja. Ketika solat berjemaah, perbuatan seperti ini boleh menyebabkan makmum yang sujud lama ketika sujud terahir itu batal solatnya.

Dan, tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa orang yang sujud terlalu lama juga akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada jemaah lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here