Butiran operasi rahsia untuk menangkap pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden, kembali diterbitkan, kali ini melalui buku berjudul The Operator, tulisan Robert O’Neill, lapor BBC.

O’Neill adalah salah seorang ahli pasukan khas Amerika Syarikat yang diberi tugas menangkap Bin Laden, selepas pegawai perisikan menerima maklumat dia bersembunyi di sebuah rumah di Abbottabad, Pakistan.

Operasi pada awal Mei 2011 tersebut sekaligus menamatkan pemburuan terhadap Bin Laden yang telah berjalan selama 10 tahun.

“Pertama kali saya melihat Bin Laden dia lebih tinggi dan lebih kurus daripada yang saya jangkakan,” kata O’Neill dalam wawancara dengan Radio BBC 5 Live.

O’Neill bersama beberapa ahli pasukan khas berada di tingkat dua rumah Bin Laden di Abbottabad. Pertemuan pertama tersebut berlaku di bilik yang digunakan oleh Bin Laden. Jarak antara O’Neill dan Bin Laden hanya kira-kira satu meter.

“Janggutnya lebih pendek dan berwarna abu-abu, saya terus mengecam (Bin Laden) dari hidungnya,” kata O’Neill.

Dalam situasi ini, O’Neill mengandaikan bahawa Bin Laden adalah sumber ancaman, mungkin punya jaket bom atau senjata api yang boleh digunakan untuk melawan.

“Jadi saya menembaknya dua kali di bahagian muka. Saya tembak sekali lagi di bahagian muka ketika dia terbaring (di lantai). Semuanya berlaku begitu cepat. Saya tidak pasti sama ada dia melihat saya, yang pasti saya melihat dirinya,” kata O’Neill.

Rumah Bin Laden

Ketika penembakan berlaku, dalam bilik itu ada isteri Bin Laden dan tiga kanak-kanak kecil.

“Sebagai seorang bapa, fikiran saya adalah anak-anak ini tidak ada kaitan dengan (apa yang dilakukan) Bin Laden. Sepatutnya mereka tidak ada di sini.”

O’Neill meminta kanak-kanak itu untuk mendekati isteri Bin Laden yang berada di tempat tidur.

Dikebumikan di laut

“Pada saat ini saya baru mula sedar (bahawa saya baru saja menembak mati Bin Laden). Seorang tentera lain muncul dan bertanya adakah saya baik-baik saja. Kemudian saya jawab, ya baik-baik saja,” kata O’Neill.

“Dia mengatakan, kamu baru saja menembak Osama Bin Laden.”

Tidak lama selepas itu, ahli pasukan khas yang lain memasuki bilik dan mencari bahan atau benda yang mungkin boleh membantu siasatan perisikan seperti komputer, flash disk, hard drive, dan cakera padat.

Jenazah Bin Laden dimasukkan ke dalam beg mayat dan pasukan khas AS ini meninggalkan Abbotabad ke pangkalan tentera di Afghanistan dengan menggunakan helikopter tentera.


Rumah  yang didiami Osama bin Laden di Abbottabad di barat laut Pakistan sebelum diserbu oleh pasukan khas AS awal Mei 2011.


Perjalanan kembali ke Afghanistan mengambil masa 90 minit dan ada risiko rombongan ini diserang atau ditembak pada waktu itu. O’Neill berkata perjalanan 1.5 jam ini terasa sangat lama.

Pada minit ke-85, juruterbang mengumumkan, “Selamat datang di Afghanitan.” Baru selepas itu semua meluahkan rasa sangat lega.

Bin Laden diburu kerajaan AS kerana organisasi yang ditubuhkan, Al-Qaeda, dipercayai terlibat dalam serangan keganasan 11 September 2001 dan sejumlah serangan lain di pelbagai negara.

Al-Qaeda juga dianggap menjadi inspirasi kepada serangan keganasan.

Presiden AS ketika itu, Barack Obama, dan beberapa pegawai kanan lain mengikuti secara langsung perjalanan operasi pasukan khas di Pakistan. Obama juga menemui seluruh ahli pasukan selepas tugas mencari Bin Laden dinyatakan selesai.

Jenazah Bin Laden tidak dikebumikan (ditanam) kerana bimbang kuburnya akan dijadikan sebagai tempat suci. Oleh itu, tentera AS menjatuhkannya ke Laut.

Sebelum dijatuhkan ke laut, jenazah Bin Laden dimandikan dan pengkebumian dilakukan secara Islam, menurut maklumat yang dikeluarkan tentera AS.

Namun menurut Ustaz Azhar Idrus pula, cerita tentang kematian Osama Bin Laden hanyalah cerita rekaan AS sahaja. Wallahua’lam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here