(Foto:Istimewa)

TEHERAN – Kerajaan Iran menghantar lima pesawat berisi bahan makanan ke Qatar.

Bahan makanan itu dihantar selepas beberapa hari selepas negara-negara Teluk memulaukan Qatar, termasuk menutup laluan udara dan pengangkutan lain.

“Setakat ini lima pesawat yang mengangkut barang-barang makanan yang mudah rosak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sudah dihantar ke Qatar,” kata jurucakap Iran Air, Shahrokh Noushabadi, kepada AFP (11/6/2017).

“Masing-masing pesawat mengangkut kira-kira 90 tan kargo, sementara pesawat lain akan dihantar lagi hari ini,” kata Noushabadi.

“Kami akan meneruskan penghantaran selagi ada permintaan dari Qatar,” sambung beliau.

Namun Noushabadi tidak menyebutkan sama ada penghantaran bahan makanan ini adalah urusan perniagaan, atau bantuan.

Tiga kapal yang membawa 350 tan makanan juga akan meninggalkan Pelabuhan Dayyer, Iran ke Qatar. Dayyer merupakan pelabuhan yang paling hampir dari Iran ke Qatar.

Berita ini disiarkan pejabat berita Tasnim, yang mengutip keterangan seorang pegawai tempatan.

Sebelum ini telah berlaku krisis diplomatik di Qatar. Ia berlaku berikutan pemutusan hubungan diplomatik oleh Arab Saudi, Bahrain, dan Emiriah Arab Bersatu, ditambah Mesir, dan juga Yaman, pada hari Isnin lalu.

Selain itu, negara-negara itu juga menghentikan semua hubungan dengan Qatar, kerana menuduh Qatar memberi sokongan terhadap keganasan.

Iran telah menggesa Qatar dan negara-negara Arab untuk menjalankan dialog bagi menamatkan perbalahan mereka.


Republik Islam tersebut juga telah membuka wilayah udaranya sehinggakan ada kira-kira 100 penerbangan Qatar setiap hari.

Hal itu berlaku selepas Arab Saudi, Bahrain, dan Emiriah Arab menyekat pesawat Qatar dari melintas di wilayah udara mereka.

Penerbangan baru tersebut telah meningkatkan lalu lintas udara Iran sebanyak 17 peratus, demikian dipetik daripada pejabat berita rasmi negara Iran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here