Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud mengalu-alukan Presiden AS, Donald Trump dalam satu sidang kemuncak di Riyadh, Arab Saudi, May 20, 2017. (Reuters)

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meminta Qatar untuk menghentikan pembiayaan keganasan kerana pihaknya telah mendesak negara-negara Arab untuk mengurangkan sekatan mereka terhadap Doha.


Krisis di kawasan Timur Tengah semakin melarat dengan tawaran Turki untuk menghantar pasukan tentera untuk membantu sekutunya.

Trump berkata bahawa beliau bercakap dengan para pemimpin serantau selepas pertemuan baru-baru ini di Riyadh, Arab Saudi. Hasilnya, beliau memutuskan sudah tiba masanya untuk meminta Qatar menamatkan sokongannya terhadap kumpulan-kumpulan pengganas.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar pada awal minggu ini. Hal itu dilakukan kerana tuduhan bahawa Doha mempunyai hubungan dengan Iran dan mencetuskan ketidakstabilan di wilayah tersebut.

“Qatar malangnya mempunyai sejarah menjadi penyumbang dana keganasan pada tahap yang sangat tinggi,” kata Trump kepada wartawan di White House.

“Kita perlu membuat keputusan, adakah kita mengambil jalan yang mudah atau adakah kita akhirnya mengambil tindakan yang sukar tapi perlu. Kita harus menghentikan pembiayaan keganasan. Saya memutuskan saatnya tiba untuk meminta Qatar untuk menamatkan pembiayaan,” kata Trump seperti dipetik dari Reuters, Sabtu (10/6/2017).

Sekutu AS di Teluk Arab terus mengetatkan sekatan mereka terhadap Qatar dengan menyenaraikan puluhan tokoh yang mempunyai kaitan dengan negara kecil tetapi kaya itu ke dalam senarai pengganas.

Setiausaha negara AS, Rex Tillerson mengatakan pada hari Jumaat bahawa beliau menjangkakan semua pihak akan menamatkan krisis.

“Kami menyeru kepada kerajaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir untuk memudahkan sekatan menentang Qatar,” katanya di Washington.

Tillerson berkata kepada wartawan bahawa krisis yang telah menjejaskan hubungan pengangkutan dan perdagangan telah mula memberi impak kepada rakyat biasa di Qatar, merosakkan urusan perniagaan dan menghalang usaha AS melawan kumpulan militan Islam.

Qatar adalah rumah bagi pangkalan utama tentera A.S. yang penting.


Tidak lama selepas ucapan Tillerson, Pentagon mengatakan bahawa sekatan sementara Qatar tidak menjejaskan operasi ketenteraan ketika ini, namun “menghalang” kemampuan untuk merancang operasi ketenteraan jangka panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here