(Foto: aa.com.tr)

ANKARA – Menteri Luar Negeri Turki Mevlut Cavusoglu, pada Selasa (29/8/17), mengecam penganiayaan dan pembunuhan terhadap Muslim Rohingya di Rakhine oleh tentera Myanmar. Beliau menganggap perlu ada penyelesaian kekal untuk mengatasi krisis Rohingya di sana.

“Dulu ada serangan serius terhadap Rohingya, tapi masalahnya sistematik. Saudara-saudara Rohingya telah mendapat tekanan, penganiayaan, dan telah dihantar pulang,” ujar Cavusoglu dalam satu sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Menteri Luar Negeri Maldives Mohammad Asim di Ankara, seperti dilaporkan laman Anadolu Agency.

Beliau menegaskan, negara-negara serantau memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah dan krisis di Rakhine. Asim turut menyatakan tentang sokongan yang telah ditunjukkan kerajaan Indonesia dan Malaysia terhadap Muslim Rohingya di Rakhine.

Cavusoglu meminta masyarakat antarabangsa dan negara-negara Islam untuk menunjukkan kepekaan terhadap isu dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dihadapi oleh Muslim Rohingya.

Seorang ibu Rohingya menangis selepas Anggota Penjaga Sempadan Bangladesh (BGB) menyekat mereka untuk memasuki Bangladesh, di Cox’s Bazar, Bangladesh, 27 Ogos 2017. (Foto: Reuters)

“Kami juga menyeru negara-negara Muslim dan pemimpin mereka dari sini. Kita tidak boleh terus berdiam dalam hal ini. Mari kita tunjukkan sensitiviti kita,” ujarnya.

“Mari kita buat amaran yang diperlukan terhadap Myanmar. Semua institusi seperti PBB, Agensi Pelarian PBB, dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi harus mengambil langkah tegas untuk sebuah penyelesaian.”

Kekerasan terhadap Muslim Rohingya di Rakhine kembali berlaku selepas berlaku serangan terhadap pos sempadan pada Jumaat (25/8) lalu. Seramai 77 anggota militan, 10 anggota polis dan seorang askar Myanmar terbunuh dalam kejadian itu, menurut laporan media.

Kemudian, beberapa media melaporkan bahawa pasukan keselamatan Myanmar mula menindas Rohingya. Beribu-ribu penduduk kampung Rohingya dipindahkan dan rumah-rumah mereka dimusnahkan dengan mortar dan mesingan.

Satu laporan PBB yang diterbitkan tahun lalu menyatakan bahawa telah berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar, yang termasuk jenayah terhadap kemanusiaan.

PBB mendokumentasikan terjadinya pemukulan, rogol, dan pembunuhan beramai-ramai, termasuk pembunuhan terhadap bayi dan kanak-kanak kecil secara ganas. Perwakilan Rohingya mengatakan kira-kira 400 orang terbunuh dalam operasi keselamatan tentera Myanmar yang dilakukan pada Oktober 2016 lalu.

Mohamed Asim mengatakan pentingnya peranan Turki dalam platform antarabangsa dan memuji usaha Ankara untuk “membawa masalah dunia Islam”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here