Anggota polis Myanmar membuat rondaan di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh bagi menyekat pelarian Rohingya melintasi sempadan (Foto: EPA, 27 Ogos, 2017)

Pasukan keselamatan Bangladesh telah menahan dan menghantar kembali ke Myanmar berpuluh-puluh pelarian Rohingya Muslim yang telah berjaya melintasi sempadan walaupun tentera Myanmar disempadan melepaskan tembakan kepada pelarian yang cuba meninggalkan negara itu.

Pos pemeriksaan polis di Yathae Taung, Rakhine, pada Sabtu (Foto: CNN)

Memetik laporan PressTv.ir (27/8/2016), Polis Bangladesh berkata mereka telah memintas 70 umat Islam Rohingya selepas mereka melarikan diri dari keganasan di utara negeri Rakhine di Myanmar dan menyeberangi zon “garisan sifar” pada hari Sabtu.

Penduduk tersebut ditangkap kira-kira empat kilometer di dalam wilayah Bangladesh dalam perjalanan ke kem pelarian di Kutupalong, di mana beribu-ribu Rohingya sudah hidup dalam keadaan daif, kata ketua polis tempatan Abul Khaer.

“Semua 70 ditahan dan kemudian dihantar ke Myanmar oleh pengawal sempadan,” kata Khaer.

“Mereka meminta kami tidak menghantar mereka kembali ke Myanmar,” kata seorang anggota polis yang tidak mahu namanya disiarkan.

Foto yang diambil pada 25 Disember 2016, menunjukkan Muslim Rohingya dari Myanmar yang cuba menyeberangi Sungai Naf ke Bangladesh. (Foto: AFP)

Laporan menyatakan Kerajaan Bangladesh telah mengarahkan pegawai-pegawai tempatan di daerah yang bersempadan dengan Myanmar supaya tidak membenarkan “kemasukan haram” Muslim Rohingya.

Negara miskin itu telah menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Rohingya.

Beberapa jam sebelum Rohingya ditangkap di Bangladesh, tentera di seberang sempadan, di Myanmar, telah melepaskan tembakan ke atas umat Islam yang cuba melarikan diri dari keganasan.

Wartawan yang menyaksikan kejadian itu pada hari Sabtu berkata tentera Myanmar menggunakan tembakan peluru mortar dan mesingan ke arah beratus-ratus orang kampung Rohingya yang melarikan diri, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pengawal sempadan Bangladesh juga mengesahkan perkara itu, dengan mengatakan tembakan itu berlaku di pos sempadan Ghumdhum, di mana beribu-ribu orang telah terkandas sejak Jumaat, ketika pertempuran baru dimulakan.

Golongan minoriti umat Islam Rohingya menghadapi kekerasan di tangan pelampau Buddha di Rakhine sejak tahun 2012. Negara ini juga telah berada di bawah pengepungan tentera sejak Oktober 2016.

Sami Buddha membantah campurtangan PBB dan NGO di Sittwe, Rakhine (Foto: EPA)

Keganasan yang tercetus minggu lalu dikatakan selepas pos sempadan di Rakhine dan puluhan polis diserang oleh kumpulan yang mendakwa menyokong Rohingya Muslim melawan tindakan keras kerajaan di Rakhine, namun ada yang mengatakan ia hanyalah alasan bagi tentera Myanmar bagi melakukan pembantaian etnik

Kerajaan Myanmar melabelkan 1.1 juta penduduk Rohingya di negara itu sebagai “pendatang tanpa izin” dari Bangladesh. Walau bagaimanapun, Muslim Rohingya berakar di negara itu selama berabad-abad. Mereka dianggap oleh PBB sebagai “kumpulan minoriti yang paling dianiaya di dunia.”

Myanmar dan Bangladesh masing-masing menganggap Rohingya sebagai warganegara negara lain. (Foto: Reuters)

Terdapat banyak laporan saksi mengatakan Myanmar melaksanakan hukuman mati, rogol, dan serangan pembakaran oleh tentera sejak serangan dilakukan.

Sekitar 87,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak tahun lalu di tengah-tengah tindakan ganas Kerajaan Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here