Sejak semalam tersebar satu rakaman video di media sosial seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air banjir ke arah sungai berhampiran Kemahiran Belia Institut Latihan Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat semalam.

Melalui rakaman video 44 saat yang tersebar di media sosial itu menunjukkan mangsa yang masih lagi memakai topi keledar sedang dihanyutkan oleh arus ke arah Sungai Serai.

Orang lain yang melihat menjerit dan memberitahu mangsa supaya melepaskan motor untuk menyelamatkan diri.

Mangsa, Taufik Alias, 24, dipercayai terjatuh dan terperangkap dalam banjir dan dihanyutkan ke sungai ketika menunggang motosikalnya. Hujan lebat di kawasan itu telah menyebabkan paras air sungai meningkat dengan cepat.

Rakaman mangsa hanyut yang menular di laman sosial mencetuskan pelbagai spekulasi daripada netizens, ada yang menuduh mangsa cuba menyelamatkan motornya yang dihanyutkan air deras.

Semalam, bapa mangsa, Alias Sagi, tampil menafikan dakwaan segelintir netizens. Menurutnya, beliau telah diceritakan hal yang sebenar terjadi oleh salah seorang lelaki yang ada di dalam rakaman yang berusaha menyelamatkan mangsa.


“Seorang lelaki bernama Wan yang cuba selamatkan anak saya itu beritahu, sebenarnya dia bukan cuba selamatkan motor, dia cuba lepaskan diri dia dari moto yang hanyut itu, dia memang cuba lepaskan diri dia, tapi mungkin seluar tersangkut.”

“Jika kita lihat dari atas (video) seolah-olah dia sayangkan motor, sebenarnya dia cuba nak lepaskan dirinya, lelaki yang cuba selamatkan dia itu hanya sekaki lagi nak capai,” jelasnya beliau.

Menurut abang mangsa, Mustakim Alias menjelaskan bahawa adiknya itu tidak cukup sifat seperti orang biasa, dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) setelah terbabit dalam satu insiden jalanraya tujuh tahun lepas.

Insiden itu telah menyebabkan mangsa kekurangan dari segi kemampuan mental dan fizikalnya.

Beliau meminta agar menghormati keluarga dengan menghentikan tuduhan yang tidak berasas kerana saat ini semua ahli keluarga tengah berduka.

Pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor telah mengerahkan tiga unit bot penyelamat ke tempat yang masih dibanjiri air di Hulu Langat bagi operasi mencari dan menyelamat yang diteruskan pagi ini.

Sama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk memudahkan misi mencari dan menyelamat oleh pihak bomba. Semoga mangsa dijumpai dengan selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here