Bayi kembar berusia lapan hari adalah dua dari sekitar 100 bayi yang meninggal di hospital kerajaan di kawasan utara India (Foto: BBC)

NEW DELHI – Mahkamah India meminta kerajaan mengemukakan laporan mengenai kematian kira-kira 100 kanak-kanak di sebuah hospital di Gorakhpur, negeri Uttar Pradesh, India utara.

Menurut laporan media, dengan merujuk kepada maklumat dari dalam hospital itu sendiri, punca kematian ialah penamatan bekalan oksigen disebabkan oleh bil yang tidak dibayar kepada pembekal.

Walau bagaimanapun, laporan itu ditolak oleh kerajaan yang menjelaskan bahawa kematian kanak-kanak yang berlaku dalam tempoh 10 hari adalah disebabkan oleh ensefalitis atau peradangan akut otak.

Keputusan mahkamah tinggi di Allahabad dibuat setelah munculnya petisyen yang meminta siasatan kehakiman dilakukan tentang apa yang sebenarnya terjadi di sebalik kematian anak-anak.

Pada awalnya kira-kira jam 8:00 malam waktu tempatan, pada 9 Ogos 2017, seorang doktor memberitahu petani Brahmadev Yadav tentang kematian seorang bayi lelaki dan keadaan kritikal bayi perempuannya.

Yadav, 30, dan isterinya, Suman, mempunyai anak kembar selepas cuba mendapatkan anak sejak lapan tahun yang lalu. Kembarnya baru berusia seminggu.

Selepas dikenal pasti sakit demam, Yadav membawa dua bayinya ke Kolej Perubatan Baba Raghav Das di Daerah Gorakhpur di Uttar Pradesh, sebuah negeri di utara India.

“Tiada siapa yang memberitahu kami mengenai isu oksigen,” kata Yadav kepada Hindi, Samiratmaj Misra.

Tetapi apabila Yadav melihat bayi perempuannya muntah darah, dia menyedari paru-paru anak perempuannya itu kehabisan oksigen. Bayi itu meninggal malam itu.

“Itulah cara kanak-kanak lain mati, semua orang menangis, berteriak, memeluk anak-anak mereka, dan membawa pulang ke rumah. Apa lagi yang boleh mereka lakukan?”

Brahmadev Yadav kehilangan kedua anaknya yang baru lahir di Kolej Perubatan Baba Raghav Das (Foto: BBC)

Kematian pertama hospital itu dilaporkan pada 7 Ogos. Tetapi berita itu hanya menjadi berita utama media massa empat hari kemudian selepas kadar kematian semakin meningkat.

Sebanyak 30 kematian lain berlaku antara 10 dan 11 Ogos. Sebilangan media melaporkan bahawa hospital itu kehabisan oksigen menyebabkan kematian 60 kanak-kanak dalam tempoh lima hari.

Sementara itu, walaupun mengakui bekalan oksigen yang tidak cukup, pegawai kerajaan tempatan menegaskan ia bukanlah penyebab kematian besar-besaran itu.

Majoriti mangsa meninggal dunia dalam unit rawatan intensif bayi atau ketika merawat ensefalitis, peradangan otak yang telah berleluasa di rantau ini sejak beberapa dekad yang lalu.

Kedua-dua pihak berkuasa dan hospital mendakwa bayi-bayi itu mati kerana penyakit, termasuk ensefalitis.

Dalam menghadapi kemarahan yang semakin meningkat, kerajaan menggantung pengetua kolej perubatan kerana melambatkan pembayaran kepada pembekal oksigen, yang mengatakan hospital itu berhutang lebih daripada 6 juta rupee ($ 93,465 atau kira-kira RM400,000).

Perdana Menteri Narendra Modi menyebut tentang kematian itu dalam ucapan kemerdekaan India, Selasa.

Aruni meninggal dunia pada 10 Ogos di Kolej Perubatan Baba Raghav Das (Foto: BBC)

Modi meminta orang ramai untuk berdiri bersama keluarga yang bersedih hati. Beliau juga mengarahkan siasatan ke atas kematian 100 bayi itu.

Sementara itu, ibu bapa mangsa terus menceritakan kisah anaknya yang berjuang untuk oksigen sebelum mati.

Ramai dari ibu bapa mangsa berkata, beberapa doktor memberi mereka beg dan meminta mereka secara manual menyalurkan oksigen ke paru-paru anak mereka.

“Dalam 30 minit saya melihat tiga kanak-kanak meninggal dunia di depan mata saya,” kata Vipin Singh kepada wartawan BBC Hindi, Nitin Srivastava.

Anak perempuan Singh bernama Arushi dimasukkan ke hospital kerana menunjukkan tanda-tanda ensefalitis.

Suhu badan bayi, kata Singh, rendah. Tetapi doktor memintanya supaya tidak risau. Dua jam kemudian, dia diberitahu bahawa Arushi telah meninggal dunia.

Singh berkata hari itu dia merasakan sesuatu yang pelik di wad.

“Doktor-doktor berlari, tetapi mereka tidak bercakap banyak. Yang saya dengar hanya tentang kematian anak saya dan saya harus membawa jenazah anak perempuan saya keluar dari wad itu.

“Saya hanya membalut tubuhnya dengan selimut dan saya membawanya ke rumah. ”

Tragedi itu menimbulkan persoalan mengenai keadaan penjagaan kesihatan di negeri Uttar Pradesh. Sehingga sekarang ibu bapa tidak mendapat jawapan yang mereka cari.

“Walaupun kami bertanya, mereka tidak memberitahu kami apa-apa,” kata Yadav yang tidak mempunyai rekod perubatan terperinci sebab kematian anaknya. Walaupun begitu, Yadav masih mahu mengetahui punca kematian dua bayi kembarnya.

Yadav menguburkan dua bayinya berhampiran rumahnya di Kampung Bagha Gara, di Daerah Gorakhpur. Kedua-duanya dikebumikan dan tidak dibakar seperti yang ditetapkan dalam upacara Hindu.

“Saya bersedia untuk menggali kubur mereka untuk bedah siasat,” katanya.

Ibu kepada Yadav, Rajeshwari, menuduh doktor telah bercakap kasar kepada anak dan menantunya dan menjerit kepada pasangan itu apabila mereka bertanya.

“Selepas lapan tahun, Tuhan memberkati kami dengan dua orang anak, namun kami tidak ada walaupun dua hari bersama mereka,” ujar Rajeshwari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here