(Foto:  AP)

Dua anggota sayap kanan Knesset (parlimen Israel) pada Khamis menyeru diadakan sidang parlimen untuk membincangkan bantuan peruntukan dan sokongan yang sedang dilaksanakan oleh Turki untuk Baitulmuqaddis Timur dan Masjid Al-Aqsa, lapor Middle East Monitor.

Israel HaYom, akhbar harian bahasa Ibrani yang dekat dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, melaporkan bahawa Rabbi Yehuda Glick, ahli Parti Likud sayap kanan Israel, dan Shuli Maalem, ahli Parti Rumah Yahudi yang juga sayap kanan, telah menyeru untuk diadakan mesyuarat urusan luar negeri Knesset dan jawatankuasa keselamatan untuk membincangkan peranan penting Turki di Jerusalem Timur yang diduduki Israel.

Mereka membuat permintaan tersebut selepas akhbar sama menerbitkan laporan di halaman muka depan edisi Rabu yang mengkritik aktiviti kemanusiaan Turki di bandar bersejarah tersebut.

Laporan itu menegaskan bahawa satu abad selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, Turki telah mula menguatkan semula pengaruhnya di kawasan itu dengan memberi dana bantuan berjuta-juta dolar ke Baitulmuqaddis Timur dan kompleks Masjid Al-Aqsa, Palestin yang digelar oleh orang Yahudi sebagai “Kuil Gunung “.

Menurut laporan itu, sekutu Turki di Baitulmuqaddis Timur merupakan musuh-musuh ketat Israel iaitu Sheikh Raed Salah, ketua Pergerakan Islam di Israel (cabang utara), dan Sheikh Ekrima Sabri, bekas mufti Jerusalem.


“Sejak 2004, Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) telah melabur berjuta-juta dolar dalam 63 projek yang berlainan di seluruh Jerusalem Timur,” kata laporan itu.

Tambahnya, objektif keseluruhan kegiatan Turki di sana adalah untuk melindungi dan mengukuhkan warisan dan identiti Muslim di Jerusalem.”

Laporan itu turut menunjukkan bahawa TIKA sedang berusaha untuk mengembalikan arkib Muslim ketika era Uthmaniyah di Baitulmuqaddis Timur dan Masjid Kubah Batu yang ikonik, dengan menyatakan bahawa “kehadiran Turki” mudah dilihat di bandar.

“Bendera Turki dan makanan dapat dilihat di mana-mana, menunjukkan pengaruh negara tersebut dalam bandar,” katanya.

Menurut laporan yang sama, pelaburan Turki yang sedang dijalankan di Jerusalem telah mengikis pengaruh Jordan sebelumnya, walaupun status sejarah Kerajaan Hashemite sebagai “penjaga tempat suci Jerusalem”.

Akhbar itu menyebut tentang populariti Turki dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di kalangan penduduk Palestin di Jerusalem.

Awal bulan ini, satu laporan disediakan untuk Nir Barkat, Datuk Bandar Yahudi di Jerusalem, mengenai peningkatan pengaruh Turki di bandaraya, yang bertajuk, “Orang Turki Mengambil Alih Jerusalem”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here