Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Kita perlu bersyukur kerana hidup sebagai muslim. Namun, untuk menjadi muslim yang terbaik tidak cukup hanya membaca sendiri al-Quran dan hadis serta memahaminya dengan akal fikiran sendiri semata-mata, namun memerlukan guru mursyid yang boleh memberi tunjuk ajar supaya tidak tergelincir dalam usaha memahami ilmu agamanya .


Selain al-Quran dan hadis yang bersifat jelas dan tetap maknanya, ada teks al-Quran dan hadis yang bersifat samar dan makna berlapis. Justeru, ia memerlukan kaedah yang terbaik untuk memahaminya. Bagi mendapatkan kefahaman yang terbaik, tugas sukar ini telah dipikul oleh imam-imam mujtahid di kalangan para Salaf dahulu.

Mereka telah mengusahakannya dengan kesungguhan dan kemampuan ilmu yang tiada tolok bandingnya pada zaman sekarang, selain mempunyai sifat soleh, warak, kuat beribadah, takwa dan zuhud yang cukup tinggi. Pada hari ini, kita sebenarnya hanya mewarisi dan menikmati hasil usaha daripada mereka sahaja.

Bagaimanapun, hasil usaha (ijtihad) yang digembengkan oleh mereka itu tidak keseluruhannya sama dan mempunyai berbagai variasi, yang kita kenalinya sebagai ‘mazhab’.

Namun, perselisihan antara mereka berjalan dengan penuh adab dan harmoni di atas dasar: “Pandangan kami benar, namun boleh jadi salah. Pandangan yang lain salah, namun boleh jadi benar”. Ia juga berdasarkan konsep; yang benar mendapat dua pahala dan yang salah tetap mendapat satu pahala.

Terdapat sejumlah tokoh mujtahid Salaf yang masyhur dan terkenal, antara mereka ialah:

1. Imam Sufyan bin ‘Uyainah (198) di Makkah
2. Imam Sa‘id bin al-Musayyib (94) di Madinah
3. Imam Malik bin Anas (179) di Madinah
4. Imam as-Syafi’i (204) di Mesir
5. Imam al-Laith bin Sa’ad (175) di Mesir
6. Imam al-Hasan al-Basri (110) di Basrah
7. Imam Sufyan at-Thauri (161) di Kufah
8. Imam Abu Hanifah (150) di Kufah
9. Imam Ibn Abi Laila (148) di Kufah
10. Imam Syuraik al-Qadhi (177) di Kufah
11. Imam Ibn Syubrumah (144) di Kufah
12. Imam Ahmad bin Hanbal (241) di Baghdad
13. Imam Abu Thaur (240) di Baghdad
14. Imam Dawud az-Zahiri (270) di Baghdad
15. Imam Ibnu Jarir at-Tabari (310) di Baghdad
16. Imam Ishaq bin Rahawaih (238) di Naisabur
17. Imam al-Auza’i (157) di Syam.
18. Imam Ibn al-Mubarak (181) di Khurasan.


Boleh dikatakan selepas kurun ketiga hijrah, hampir semua para ulama yang datang kemudian hanya bermazhab dengan mazhab imam-imam mujtahid tersebut kerana kemampuan yang makin berkurangan di kalangan para ahli ilmu serta faktor-faktor lainnya.

Bermazhab bermaksud memilih keputusan dan kefahaman terbaik dalam isu-isu atau hukum-hukum furu‘ (cabang) berdasarkan dalil-dalilnya yang berbentuk zanni, terutama al-Quran dan sunnah, serta melalui kaedah-kaedah pendalilan yang terbaik menurut pandangan ijtihad mereka.

Secara ringkas, bermazhab adalah memilih kefahaman terbaik yang selari dengan tuntutan al-Quran dan hadis, selain memelihara diri umat Islam agar tidak terkeluar daripada lingkungan syarak.

Namun, kebanyakan mazhab yang disebut tadi telah pun pupus kerana tidak dipelihara, ditahkik dan dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka kecuali 4 mazhab sahaja, iaitu mazhab Imam Abu Hanifah (Hanafi), mazhab Imam Malik bin Anas (Maliki), mazhab Imam as-Syafi’i (Syafi’i) dan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali).


Hanya empat mazhab ini yang diwarisi secara bersanad, dikemaskini, dibuat redaksi, diperinci, ditahkik dan diberi khidmat oleh para alim ulama. Adapun yang lainnya tidak sedemikian, meskipun pandangan-pandangan mereka ada direkodkan di mana-mana, namun ia tidaklah lengkap, terputus sanad, ada kemungkinan mereka menarik balik pandangan dan adakalanya tidak diketahui wajah-wajah pendalilannya. Faktor-faktor sebegini menjadikan ia kurang dapat dipercayai dan diyakini, berbeza dengan 4 mazhab tadi.

Dalam soal beragama perlu kepada pandangan yang jiwa kita berasa berpuas hati, yakin dan tenang menerimanya, maka ciri-ciri ini secara umum wujud pada keempat-empat mazhab muktabar tersebut.

Hal ini menjadikan hukum-hakam daripada empat mazhab ini dapat dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Kerana itu, ia kekal, bersambung turun temurun setiap generasi dan berkembang sehingga kini.

Pada zaman ini, mereka yang anti-mazhab, atau tidak mahu bermazhab dengan keempat-empat mazhab ini dengan dakwaan mahu terus merujuk kepada al-Quran dan sunnah sebenarnya turut ‘bermazhab’ juga tanpa sedar.

Ini kerana pandangan-pandangan yang dipilih dan didakwa sebagai kuat oleh mereka sebenarnya adalah kefahaman campuran yang datang daripada salah satu mazhab yang empat itu jua. Hakikatnya mereka juga bermazhab dengan mazhab ulama yang menjadi ikutan mereka.

Secara analogi, jika anda diberi pilihan antara pokok yang sudah besar teguh, sudah pasti subur dan sentiasa berbuah lebat dengan pokok yang masih kecil muda, serta belum pasti subur dan hasil buahnya. Mana satukah yang anda akan pilih?

Mazhab Syafii misalnya, selain mempunyai metodologi usul, kaedah dan susunan hukum fiqh yang cukup sistematik dan lengkap, juga mempunyai tokoh-tokoh besar yang cukup handal, namun mereka masih tetap bermazhab, seperti al-Baihaqi, al-Hakim an-Naisaburi, dan lain-lain.

Jika dibandingkan keadaan kita dengan para ulama besar tersebut, layakkah kita untuk tidak bermazhab, ditambah dengan sifat warak, ikhlas, takwa, zuhud dan adab kita yang sangat jauh kurangnya berbanding dengan mereka?

Wallahu a‘lam.

Ringkasan dari tulisan: Bicara Hadith Bersama Ustaz Mohd Khafidz Soroni

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here