Apartmenthaus Paradies (Foto: BBC)

GENEVA – Kerajaan Israel menyuarakan kemarahan kepada Kerajaan Switzerland berkaitan dengan notis peringatan di hotel Apartmenthaus Paradies bahawa tetamu-tetamu Yahudi perlu mandi dahulu sebelum menggunakan kolam renang.

Notis di hotel yang terletak di kawasan peranginan pergunungan Arosa, bahagian timur Switzerland itu, ditulis dalam bahasa Inggeris yang seolah-olah diwarnai dengan ejaan salah dan penggunaan kata yang mengelirukan pula.

“Kepada tetamu Yahudi, wanita dan kanak-kanak, sila mandi sebelum anda berenang dan walaupun selepas berenang. Jika anda melanggar syarat-syarat, saya terpaksa menutup kolam renang bagi kamu.”

Demikian bunyi notis yang ada di persekitaran kolam renang hotel, seperti dilaporkan BBC pada Rabu (16/8/2017).

Foto notis itu disebarkan melalui Twitter selepas seorang tetamu Yahudi Ortodoks menceritakannya kepada televisyen Israel, Saluran 2.

“Pekerja-pekerja sangat baik kepada kami. Tetapi suatu pagi saya turun dan melihat notis itu. Saya terkejut!” kata tetamu hotel dari Israel yang diwawancara oleh televisyen.

Masalah diplomatik

Bukan hanya peringatan untuk membasuh tubuh bagi tetamu Yahudi sahaja yang dipersoalkan, namun ada juga peringatan lain yang menyebutkan bahawa tetamu Yahudi hanya boleh menggunakan peti sejuk di dapur pada waktu-waktu tertentu.

“Kepada tetamu Yahudi, anda dibolehkan menggunakan peti sejuk antara pukul: 10.00-11.00 dan 16.30-17.30 (waktu tempatan). Saya berharap kamu faham bahawa pasukan kami tidak suka diganggu pada setiap masa.”

Notis peringatan di hotel Apartmenthaus Paradies itu mencetuskan kecaman.

Timbalan Menteri Luar Negeri Israel, Tzipi Hotovely, menyebutnya sebagai tindakan “antisemitisme” yang paling buruk dan paling menjijikkan.

Beliau telah bercakap tentang masalah ini dengan duta besar Israel ke Switzerland, dilaporkan menghubungi hotel itu, kemudian Hotovely diberitahu bahawa notis itu telah dihapuskan.

Walaupun demikian beliau meminta agar orang-orang yang terlibat diberi hukuman untuk menjadi penghalang bagi mereka yang masih menyimpan kuman antisemitisme.

(Foto: Twitter via BBC)

Sementara itu pengurusan hotel dilaporkan berkata “tidak ada maksud antisemitisme” dan “kami tidak mempunyai masalah dengan tetamu-tetamu Yahudi”.

Ruth Thomann, pengurus hotel yang menandatangan notis peringatan tersebut berkata ia adalah “satu kesilapan”.

Beliau berkata sebahagian tetamu Yahudi berenang dengan memakai baju mereka, seperti t-shirt dan tidak membilas badan.

Mengenai notis amaran penggunaan peti sejuk, menurutnya, tetamu Yahudi – bukan bagi tetamu-tetamu lain – dibenarkan menggunakannya untuk menyimpan makanan kasyrut.

Laporan menyebutkan bahawa hotel Apartmenthaus Paradies sering menerima tetamu dari Israel, sebahagian di antara mereka adalah Yahudi Ortodoks.

Wartawan berkata arahan kepada tetamu Yahudi untuk mandi mengingatkan mereka akan Holokus, penjaga kem Nazi menyuruh orang-orang Yahudi untuk ke bilik “mandi” yang sebenarnya adalah bilik gas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here