(Foto: Instagram @Chadonka)

Sebuah pulau baru muncul di pantai berhampiran Cape Point, Carolina Utara, Amerika Syarikat. Pulau sepanjang 1.6 kilometer di Lautan Atlantik itu, pertama kali muncul pada April 2017.

Janice Regan dan cucunya, Caleb (11), merupakan salah satu pengunjung pertama pulau yang digelar Shelly Island itu.

“Pada April lalu, pulau itu hanya berupa tompokan kecil,” ujar Regan kepada The Virginian Pilot. “Bukankah itu menakjubkan?” tambah beliau.

Dipetik dari Fox News, Selasa (15/8/2017), pulau itu digelar Shelly Island kerana dianggap sebagai salah satu tempat terbaik untuk mengumpulkan kulit kerang.

Kawasan pantai Carolina Utara adalah salah satu persekitaran lautan yang paling dinamik di Bumi. Terdapat lebih daripada 2,000 bangkai kapal di kawasan yang digelar “kubur Atlantik” itu sejak 1585.

Seorang ahli geomorfologi di Woods Hole Oceanographic Institution, Andrew Ashton, membuat spekulasi bahawa pulau tersebut muncul kerana air pasang atau arus air kencang akibat badai yang kemudian mengumpulkan dan menimbilkan enapan ke permukaan.

Walaupun bagaimana proses terbentuknya Shelly Island belum dapat disahkan, fenomena tersebut bukan merupakan perkara yang jarang berlaku.

NASA berkata, sejumlah pulau pernah terbentuk di kawasan Cape Point selama beberapa dekad terakhir ini. Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaantu itu juga mengatakan bahawa garis pantai di North Carolina juga terus berubah.

Ancaman di Shelly Island

Proses munculnya Shelly Island di North Carolina, Amerika Syarikat yang dirakamkan satelit NASA. (Foto: NASA)

Menurut laporan CBS News, Shelly Island terus dikunjungi para pelancong, baik bagi mereka yang ingin mengumpul kerang mahupun bagi yang ingin melihat langsung pulau baru itu.

Walaupun demikian, pakar telah memberi amaran kepada para pengunjung akan bahaya yang ada di Shelly Island.

Penguasa Cape Hatteras National Seashore, Dave Hallac, menyarankan orang ramai supaya jangan sesekali cuba berenang ke Shelly Island kerana arus yang kuat. Jerung sepanjang 1.5 meter dan ikan pari bersaiz besar kelihatan beberapa kali di sekitar pulau itu.

Namun, Presiden North Carolina Beach Buggy Association, Bill Smith, lebih bimbang akan ancaman lemasnya seseorang. Ini kerana, arus di sana sangat kencang, walaupun jarak antara daratan dan Shelly Island hanya sejauh 46 meter.

“Kami bimbang tentang serangan jerung, tapi kami lebih bimbang dengan risiko lemas,” ujar Smith, seperti dipetik dari Independent.

Namun, beberapa orang pernah berjaya melintasinya tanpa alat bantu, salah satunya adalah Travis Phillips. Dipetik Metro, dia mengatakan dirinya suka akan pulau tersebut di mana terdapat banyak kerang di sana.

Rakan Travis, Madalyn Eads, menunggunya di daratan dan mengawasinya untuk memastikan bahawa dia boleh menyeberang dengan selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here